Bob Lokman meninggal dunia
Astro Awani
September 23, 2022 15:18 MYT
September 23, 2022 15:18 MYT
KUALA LUMPUR: Pelakon, pelawak dan penulis lirik, Bob Lokman dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Kubang Kerian, Kota Bharu di Kelantan pada Jumaat.
Perkara ini disahkan isterinya, Relawati Daud kepada rakan rapat Allahyarham, Datin Marlia Musa sekitar jam 3 petang tadi.
“Saya baru dapat berhubung dengan isterinya dan dia mengesahkan pegawai kesihatan masih berada di kediaman mereka untuk pengesahan kematian,” kata Marlia, ketika dihubungi Astro AWANI, pada Jumaat.
Menurut anak Allahyarham, Omar, keadaan bapanya merosot sejak malam tadi.
Bob atau nama sebenarnya Mohd Hakim Lokman, merupakan penulis lirik beberapa lagu popular, Isabella, Taman Rashidah Utama dan banyak lagi.
Allahyarham juga pernah berkolaborasi dengan ramai penyanyi popular tanah air termasuk Datuk Hattan.
"Saya sudah lama tidak berhubung dengan Allahyarham kerana beliau telah berhijrah ke kampung halamannya di Kelantan. Kali terakhir, saya sempat menghulurkan sumbangan kepadanya untuk menampung rawatannya.
"Sempat juga saya kirimkan makanan Arab buat beliau kerana itu adalah makanan kegemarannya," kata Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih popular dengan panggilan Amy Search.
Mengimbau kenangan bersama Allahyarham, Amy Search berkata dia mula mengenali arwah Bob sejak tahun 1981.
"Saya kenal sejak berusia remaja ketika Search membuat persembahan di kelab Daily Rooster, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada tahun 1981. Allahyarham datang bersama rakan saya yang merupakan seorang jurugambar," kata Datuk Suhaimi Abdul Rahman atau lebih popular dengan panggilan Amy Search.
Allahyarham sebelum ini pernah dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan akibat komplikasi jantung.
Jenazah akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam.Pulai Hllir di Kubang Kerian selepas solat Isyak.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tujuh orang anak.