Bob Lokman dimasukkan ke hospital sekali lagi
Astro Awani
Januari 23, 2020 17:47 MYT
Januari 23, 2020 17:47 MYT
Pengacara, pelawak dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman dimasukkan ke hospital UiTM, Sungai Buloh pada 19 Januari lalu akibat kekurangan oksigen pada jantung.
Menurut isteri Bob, Relawati Daud keadaan penulis lirik itu yang menghidapi penyakit buah pinggang bertambah membimbangkan apabila dia menerima kesan alahan selepas mengambil ubat.
“Kakinya membengkak, kering, bernanah hingga tumbuh bintik-bintik merah. Tapi selepas disapukan krim, tanda kemerah-merahan tu berkurangan,” katanya kepada Malaysiakini.
Relawati juga memohon agar peminat-peminat Bob dapat berdoa agar suaminya dikurniakan kesihatan agar dia boleh berdakwah seperti biasa.
Katanya, jadual yang padat sejak beberapa hari kebelakangan ini membuatkan Bob kepenatan dan terpaksa dimasukkan ke hospital akibat jantung lemah selepas kekurangan oksigen.
“Abang mungkin boleh dilepaskan untuk pulang sekiranya air dalam badan kembali normal,” katanya.
Bob yang pernah menulis lirik antaranya Isabella, Rendang Tak Berbuah dan Pada Syurga Di Wajahmu juga terpaksa mengambil 15 jenis ubat-ubatan dengan kos dianggarkan melebih RM1,000 setiap bulan.
Sebelum ini dilaporkan Bob meneruskan kelangsungan hidup dengan membuka kedai makan sambil dibantu isteri dan arwah anak sulungnya, Mohamad Adam.
Namun ekoran masalah kesihatan yang dihadapi oleh Bob, perniagaan yang diusahakan itu terpaksa ditutup.
“Kedai dah tutup, abang dah tak larat nak masak. Sekarang dia banyak tumpukan pada kuliah maghrib di masjid-masjid atau pun surau,” katanya.
#Bob Lokman
#dakwah
#Hospital UiTM Sungai Buloh
#Isabella
#lirik
#PAS
#Relawati Daud
#Rendang Tak Berbuah