Bob Dylan akhirnya terima Hadiah Nobel, lebih tiga bulan selepas majlis anugerah
Kohilah Sekaran
April 2, 2017 11:08 MYT
April 2, 2017 11:08 MYT
PENYANYI dan penulis lirik Bob Dylan akhirnya menerima pingat Hadiah Nobelnya dalam kesusasteraan pada Sabtu, pada satu majlis khas di Stockholm, lapor Akademi Sweden menerusi satu kenyataan.
Penyampaian itu diadakan lima bulan selepas akademi itu mengumumkan Dylan sebagai pemenang dan lebih daripada tiga bulan selepas majlis anugerah rasmi itu diadakan - yang tidak dapat dihadiri bintang legenda itu kerana 'terikat dengan komitmen lain'.
Menurut portal berita BBC, satu majlis khas telah diatur untuk Dylan yang kini berada di Sweden sempena menjayakan konsertnya.
Dylan menerima wang tunai 8 juta Kronor Sweden (RM3.97 juta), sebutir pingat emas dan diploma Nobel.
Difahamkan, pihak media tidak dijemput untuk majlis itu, dan tidak ada sebarang komen yang dibuat oleh Dylan atau mana-mana anggota akademi itu sebelum atau selepas majlis itu.
“Majlis berjalan dengan sempurna. Dylan merupakan seorang insan yang sangat baik,” kata seorang jurucakap Akademi Sweden dalam satu kenyataan media.
Dylan merupakan penulis lagu yang pertama untuk memenangi Hadiah Nobel bagi kesusasteraan - satu penghormatan yang biasanya dikaitkan dengan penyair dan novelis.
Dylan menerima anugerah itu kerana 'mencipta ekspresi puitis baharu dalam penghasilan lagu tradisi Amerika yang hebat'.
Sebelum ini, Dylan menyifatkan anugerah itu suatu penghormatan besar buatnya, dan mengakui tiada kata-kata yang sesuai dapat diucapkan mengenainya, selain merasakan dirinya umpama sedang 'berdiri di bulan'.