BMF 2022 satukan muzik pelbagai genre, peminat pelbagai latar belakang

Bernama
September 10, 2022 04:20 MYT
Selain Alan Walker, BMF 2022 turut menampilkan DJ Soda dari Korea Selatan, manakala barisan penyanyi tempatan termasuk Rynn Lim, Thomas Jack dan Priscilla Abby bersama kumpulan muzik At Adau dan Tuku Kame. - Gambar fail
KUCHING: Festival Muzik Borneo (BMF) 2022 yang berlangsung dua hari bermula Jumaat di sini muncul sebagai festival muzik yang menyatukan pelbagai genre muzik serta peminat daripada pelbagai latar belakang dalam satu platform.
Tinjauan Bernama pada Sabtu mendapati suasana meriah terutamanya dengan kehadiran peminat genre muzik elektronik (EMG) yang menantikan persembahan artis antarabangsa Alan Walker dari United Kingdom.
Seorang pengunjung dari Jerman, Savannah Jung, 27, berkata festival BMF sangat unik berbanding festival muzik lain yang pernah dihadirinya kerana turut menampilkan unsur muzik tradisional Sarawak.
"Festival ini jauh lebih baik berbanding Tomorrowland (Festival EMG di Belgium), saya suka kerana pada masa sama mereka menampilkan muzik tradisional Sarawak. Makanannya juga menarik berbanding acara lain dan menjadikan festival ini lebih unik ialah tempatnya di dalam hutan," katanya kepada Bernama di sini.
Pengunjung tempatan, Bita Chia, 38, pula berkata penganjuran BMF amat dinanti-nantikan kerana dia berpeluang menyaksikan persembahan artis antarabangsa tanpa perlu ke Kuala Lumpur.
"Sudah tiba masa bagi Sarawak menerima atau menjemput artis luar negara mengadakan acara di sini supaya dunia luar mengetahui bahawa rakyat di Bumi Kenyalang bukan sahaja terbuka serta bertolak ansur dari segi kepelbagaian etnik, agama, kaum dan bangsa, malah turut terbuka menerima hiburan yang boleh membantu merancakkan ekonomi," katanya.
Liza Chia, 45, pula berkata BMF berjaya menampilkan kelainan apabila turut menyelitkan persembahan muzik tempatan seperti daripada kumpulan Buloh Berkocak dan Tuku Kame, yang pernah membuat persembahan pada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) sebelum ini.
"Semoga BMF juga dapat dianjurkan setiap tahun seperti RWMF dan mampu menarik pelbagai penggemar muzik dari seluruh pelosok dunia," katanya.
Seorang lagi pengunjung, Azuinita Philip, 28, berkata dia sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjayakan festival sedemikian dengan mengambil kira 'selera' golongan muda, terutamanya Gen Z yang dilihat lebih ramai menghadiri BMF.
"Kita mahu orang di luar sana tahu bahawa golongan muda yang berhibur tidak semestinya terlibat dengan penyalahgunaan dadah, lagipun untuk masuk ke tapak festival peraturannya sangat ketat," katanya.
Selain Alan Walker, BMF 2022 turut menampilkan DJ Soda dari Korea Selatan, manakala barisan penyanyi tempatan termasuk Rynn Lim, Thomas Jack dan Priscilla Abby bersama kumpulan muzik At Adau dan Tuku Kame.
-- BERNAMA
#Festival Muzik Borneo #Alan Walker #genre muzik elektronik #muzik tradisional Sarawak
;