"Block Je" - Siti Nurhaliza ikut nasihat suami

Gempak
Julai 17, 2018 14:57 MYT
Menurut penyanyi lagu Segala Perasaan ini, dia bertindak sedemikian kerana mahu mengekalkan suasana yang baik di laman sosial miliknya.- Foto: Instagram Siti
PENYANYI tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza menyekat komen 'haters' yang meninggalkan komen berbaur negatif di laman Instagram miliknya.
Menurut penyanyi lagu Segala Perasaan ini, dia bertindak sedemikian kerana mahu mengekalkan suasana yang baik di laman sosial miliknya.
"Saya block sahaja mereka yang meninggalkan komen berbaur negatif kerana tidak mahu ia menjejaskan keadaan di laman sosial saya.
"Saya tak mahu aura negatif itu wujud. Jika komen membina, saya menerimanya tetapi jika komen itu sekadar menjatuhkan dan memberi kritikan tanpa usul periksa, saya tahu niat mereka," kata Siti.
Sebelum ini, Siti pernah dikritik dan menerima beberapa komen negatif selepas memuat naik rakaman anaknya di spa bayi.
Siti ditemui di majlis pelancaran Simplysiti Gold Edition di Menara KL, semalam.
Dalam pada itu, Siti juga mengikuti nasihat suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa agar jarang memuat naik foto anak mereka, Siti Aafiyah Khalid di laman sosial.
"Nasihat suami kepada saya, jika terlalu kerap saya berkongsi foto anak di laman sosial, pastinya ia akan mengundang cakap-cakap yang tidak baik.
"Tidak semua orang melihat sesuatu perkara itu dari sudut yang baik. Lebih baik berhati-hati dan menurut sahaja nasihat suami," katanya lagi. - Teks: Kamaruddin Razal
#anak #bayi #haters #laman sosial #media sosial #Siti Nurhaliza
;