Blinks, teka-teki terungkai! Blackpink anjur konsert maya 27 Disember ini
Isabelle Leong
Disember 3, 2020 12:10 MYT
Disember 3, 2020 12:10 MYT
BLINKS, bersedia! Blackpink in your area (secara maya).
Kumpulan gergasi K-pop Blackpink akan mengadakan konsert dalam talian buat julung kalinya menerusi platform YouTube.
Konsert ‘THE SHOW’ akan berlangsung secara eksklusif di saluran rasmi YouTube Blackpink pada pukul 1 petang (waktu Malaysia) 27 Disember ini.
Kuartet Blackpink yang terdiri daripada Jisoo, Jennie, Rosé dan Lisa akan mempersembahkan lagu-lagu baharu daripada album "The Album" mereka yang diterbitkan pada Oktober lalu.
“Kami ingin mengakhiri tahun ini dengan sesuatu yang sangat istimewa dengan Blinks kami yang telah menanti kami dengan sabar,” kata Blackpink dalam satu kenyataan.
“Kami berharap anda semua boleh menikmati konsert livestream ‘THE SHOW’ di rumah dengan selesa.
“Secara keseluruhan, kami sungguh teruja untuk berkongsi momen yang menyeronokkan dengan Blinks kami dan kami tidak sabar untuk ‘THE SHOW’,” katanya.
Kuartet tersebut akan bertemu dengan peminatnya secara maya di saluran rasmi pada Jumaat (4 Disember) pada pukul 1 petang (waktu Malaysia) bagi memperkenalkan konsert mereka itu.
Dalam pada itu, mulai Khamis (3 Disember), Blinks boleh mendapatkan akses kepada konsert tersebut menerusi saluran rasmi Blackpink di YouTube.
Pakej standard berharga RM120 dan merangkumi akses kepada siaran langsung, tayangan semula dan emoji khas.
Bagi pakej plus yang berharga RM160 pula, ia merangkumi kandungan di belakang tabir konsert berkenaan.
‘THE SHOW’ menjadi konsert maya pertama kuartet tersebut sejak penerbitan album sulung mereka.
Kongsikan keterujaan anda bersama-sama kami, Blinks!
#BLACKPINK
#konsert dalam talian
#The Show
#Blink
#THE ALBUM
#K-pop
#kuartet
#Jisoo
#Jennie
#Lisa
#Rose