#BLACKPINKinMY: 8,000 Blinks terkena Ddu-Du Ddu Du
Isabelle Leong
Februari 24, 2019 08:00 MYT
Februari 24, 2019 08:00 MYT
Meletup!
Itu perkataan yang paling sesuai bagi menggambarkan konsert sulung kumpulan K-pop terkemuka BLACKPINK di pentas Malaysia pada Sabtu.
Konsert BLACKPINK In Your Area Kuala Lumpur tersebut berjaya menawan hati 8,000 Blinks (nama fandom BLACKPINK) di Stadium Malawati, Shah Alam.
Jisoo, Jennie, Rosé dan Lisa bukan sahaja berjaya tampil dengan persembahan yang penuh bertenaga, mereka juga dapat mengekalkan vokal yang tinggi sepanjang konsert yang berlangsung selama satu jam setengah itu.
Membuka tirai persembahan kuartet tersebut adalah lagu terbaharu mereka iaitu 'Ddu-du Ddu-du' yang membuatkan peminat sungguh teruja!
Blinks kemudiannya dihiburkan dengan ‘Forever Young’, ‘Stay’ dan ‘Whistle’ sebelum idola kesayangan mereka membuat persembahan solo masing-masing.
Tidak dilupakan juga kolaborasi mereka bersama-sama penyanyi jelita British, Dua Lipa yang berjudul ‘Kiss and Make Up’.
Lagu yang menduduki tangga ke-36 pada ‘Official Singles Chart’ apabila dikeluarkan itu mendapat sambutan hangat daripada penonton.
Namun, keadaan kecoh seketika apabila ‘kehilangan’ seorang anggota, Jennie, disedari.
Bagaimanapun, kekecohan berakhir apabila ‘rapper’ utama kumpulan tersebut membuat pemunculan semula di pentas.
Sepanjang konsert berlangsung, BLACKPINK bijak menggunakan ruang untuk berinteraksi bersama-sama peminat dan penonton, bukan sahaja yang berada di Zon Blink (zon di hadapan pentas), malah di seluruh stadium.
Di setiap ‘ment’ (masa yang diperuntukkan untuk membolehkan penyanyi memperkenalkan diri, bercakap dengan peminat dan menutup konsert), keempat-empat anggota kumpulan sensasi Korea Selatan itu tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kepada Blinks yang memberi sokongan dan meluangkan masa untuk menghadiri konsert mereka.
Paling mencuit hati apabila ‘maknae’ (ahli paling muda), Lisa mencium Jisoo pada pipinya semasa lagu ‘Really’ dipersembahkan di mana terdapat lirik yang berbunyi ‘jika anda cium saya sekali, saya akan cium anda dua kali’.
Apabila lagu terakhir ‘ As If It’s Your Last’ selesai dinyanyikan dan kuartet itu tidak kelihatan di pentas, peminat mula bersorak ‘Encore’ kerana masih terdapat dua lagu kegemaran mereka yang ingin mereka dengarkan secara ‘live’.
Tidak lama kemudian, BLACKPINK muncul semula ke pentas dan menyampaikan lagu yang yang mencatat 679.4 juta tontonan setakat 24 Februari 2019 di YouTube, ‘Ddu-Du Ddu-Du’.
Sebelum melabuhkan tirai konsert hari pertama dengan lagu ‘Stay’, penyanyi vokalis, Rosé memuji kebolehan Blinks yang pandai bertutur dalam Bahasa Korea.
"Jom nyanyi bersama-sama. Walaupun ia adalah lagu dalam Bahasa Korea, saya pasti anda semua fasih bertutur dalam bahasa ini," katanya sebelum mempersembahkan lagu terakhir bersama-sama peminatnya.
Konsert yang cukup menghiburkan Blinks dengan persembahan hampir 20 lagu itu turut dijayakan band pengiring BLACKPINK.
Konsert anjuran syarikat MacpiePro itu bakal berlangsung untuk hari kedua, yang juga merupakan hari terakhir, pada hari ini (Ahad).