Blackpink lancar single baharu rai ulang tahun keenam
Agensi
Ogos 8, 2022 16:12 MYT
Ogos 8, 2022 16:12 MYT
SENSASI K-Pop, Blackpink bakal muncul dengan single baharu berjudul Pink Venom bagi meraikan ulang tahun keenam mereka.
Ini akan diikuti dengan pelancaran album studio terbaharunya yang dinanti-nantikan bertajuk Born Pink, bulan depan.
Pengumuman single pra-keluaran itu disertakan dengan poster ringkas yang memaparkan sepasang taring merah jambu.
Pink Venom menjadi lagu kedua yang dilancarkan kumpulan dianggotai Jennie, Jisoo, Rose dan Lisa itu.
Sebelum ini, Blackpink muncul dengan lagu Ready For Love yang dilancarkan ketika mengadakan konsert permainan video PUBG mobile, The Virtual pada 29 Julai lalu.
Kumpulan itu yang bakal memulakan jelajah dunia Oktober ini, diuar-uarkan akan singgah ke Kuala Lumpur Mac depan.