BLACKPINK artis kumpulan wanita pertama Asia hiasi muka depan Rolling Stone
Agensi
Jun 6, 2022 16:34 MYT
Jun 6, 2022 16:34 MYT
KUMPULAN K-Pop dari Korea Selatan BLACKPINK dipilih menghiasi wajah hadapan majalah muzik Rolling Stone edisi Jun, sekali gus menjadi kumpulan wanita pertama dari Asia diberi penghormatan tersebut.
Ia juga merupakan kali pertama dalam tempoh lebih 20 tahun sebuah kumpulan muzik semua wanita sebagai penghias muka hadapan majalah berkenaan.
BLACKPINK yang dianggotai Jisoo, Jennie, Rose dan Lisa merupakan kumpulan wanita ketiga yang muncul di muka hadapan Rolling Stone.
Spice Girls mendapat penghormatan pertama pada tahun 1997, sebelum Destiny's Child pada 2001.
Kumpulan itu sudah lebih setahun tidak menghasilkan muzik bersama, dengan anggotanya kini sibuk dengan projek solo masing-masing.
Mereka bagaimanapun mengesahkan baru-baru ini bahawa mereka telah bekerja keras untuk album seterusnya, yang dilaporkan akan dikeluarkan pada akhir tahun ini.
“Kami bukan sahaja menerima lagu yang telah siap. Kami terlibat dari awal, membina, menambah dan bertukar maklum balas. Semua proses ini membuatkan saya bangga dengan muzik kami," kata salah seorang anggota kumpulan, Jisoo.