Biskop Katolik Filipina sifatkan konsert Madonna 'kerja syaitan'
Agensi
Februari 24, 2016 22:56 MYT
Februari 24, 2016 22:56 MYT
Biskop Katolik Filipina pada Rabu menyeru orang ramai untuk memboikot konsert diva pop Madonna, kerana menganggap persembahannya itu sebagai 'kerja syaitan'.
Penyanyi berusia 57 tahun itu dijangkakan akan meletakkan salib yang besar di atas pentas pada konsertnya pada hari Rabu dan Khamis, yang merupakan sebahagian daripada siri jelajah konsert “Rebel Heart”.
“Rakyat Filipina dan mereka yang sayang Tuhan harus mengelak daripada melakukan dosa dan menghadiri acara yang membawa dosa,” kata Ketua Biskop Ramon Arguelles dalam satu kenyataan.
Arguelles berkata konsert pertama Madonna di negara itu adalah 'serangan halus daripada kuasa jahat'.
Arguelles sebelum ini pernah membantah konsert penyanyi pop Lady Gaga pada 2012 yang turut dianggap sebagai 'kerja syaitan'.
Biskop-biskop konservatif mempunyai pengaruh dan terkenal di negara itu yang 80 peratus daripada 100 juta rakyatnya adalah penganut Katolik, kerana mereka lantang bersuara.
Madonna pada Selasa melawat rumah perlindungan kanak-kanak yang didera dan rumah anak yatim Katolik di Manila.
Selain Filipina, seorang biskop di Singapura turut membantah konsert Madonna di republik pulau itu kerana menyifatkan persembahan penyanyi tersebut menghina agama.