Bintang Saving Private Ryan, Tom Sizemore meninggal dunia

Agensi
Mac 4, 2023 15:49 MYT
Sizemore masyhur pada era 1990-an, sering memainkan watak pembantu, biasanya sebagai tentera, polis atau penjenayah. - REUTERS/Phil McCarten/File Photo
PELAKON Tom Sizemore, yang terkenal dengan peranan dalam filem Saving Private Ryan dan Black Hawk Down, meninggal dunia pada usia 61 tahun.
Sizemore masyhur pada era 1990-an, sering memainkan watak pembantu, biasanya sebagai tentera, polis atau penjenayah.
Tetapi mendiang juga bergelut dengan ketagihan dadah dan pernah menjalani hukuman penjara kerana keganasan rumah tangga.
Sizemore koma selepas mengalami ruptured brain aneurysm pada 18 Februari lalu.
Pengurusnya, Charles Lago berkata Sizemore meninggal dunia pada hari Jumaat di sebuah hospital di Burbank, California, Amerika Syarikat dengan abangnya Paul dan anak kembar lelaki, Jayden dan Jagger, 17, di sisinya.
Dalam filem yang memenangi anugerah Oscar, Saving Private Ryan terbitan tahun 1998, mendiang berlakon di samping Tom Hanks sebagai Sarjan Horvath.
Sizemore telah dicalonkan untuk Golden Globe kerana memainkan samseng dalam filem TV 1999 Witness Protection, dan merupakan pelakon suara watak bos mafia, Sonny Forelli dalam Grand Theft Auto: Vice City pada tahun 2002.
#Tom Sizemore #pelakon #Hollywood #meninggal dunia
;