Bintang rock 'n' roll, Don Everly meninggal dunia
Astro Awani
Ogos 23, 2021 08:01 MYT
Ogos 23, 2021 08:01 MYT
DON Everly, salah seorang anggota kumpulan duo rock country, Everly Brothers meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Everly menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Nashville, Tennessee, pada Sabtu, menurut jurucakap keluarganya, Linda Edell Howard.
Seorang lagi anggota kumpulan itu yang merupakan adik Don, Phil Everly, meninggal dunia pada Januari 2014 pada usia 74 tahun.
"Don sangat menghargai peluang untuk merealisasikan impiannya. Mendiang hidup bahagia dengan isterinya Adela, dan berkongsi muzik dalam hasil karya bersama Everly Brothers. Don selalu menyatakan betapa dia sangat bersyukur mempunyai peminat yang menghargai bakatnya," kata Howard.
Don dan Phil meniti populariti pada akhir tahun 1950an dan 1960an, dengan deretan lagu hit seperti "Bye Bye Love", "Let It Be Me", "All I Have Do Do Is Dream" dan "Wake Up Little Susie", selain disifatkan sebagai artis yang mempopularkan gaya nyanyian duo harmoni.
Kejayaan itu menjadikan mereka inspirasi buat ramai artis termasuk The Beatles dan Simon & Garfunkel yang meletakkan duo itu sebagai pengaruh utama muzik mereka.
Walaupun jumlah lagu hit mereka menurun pada akhir 1980an, mereka masih menerima sambutan menerusi konsert jelajah di seluruh Amerika Syarikat dan Eropah.
Beberapa dekad berlalu, impak muzik mereka masih jelas. Malah pada tahun 2013, Billie Joe Armstrong dan Norah Jones Green Day memberi penghormatan kepada duo itu menerusi album kolaborasi mereka berjudul Foreverly.