Bintang pop Mariah Carey terima lamaran hartawan Australia James Packer

AFP
Januari 22, 2016 17:35 MYT
Laman hiburan E! News melaporkan Mariah Carey menerima cincin 35-karat dari James Packer - Foto AFP
Bintang pop Amerika Syarikat Mariah Carey dan hartawan kasino Australia James Packer telah bertunang dan bakal melangsungkan perkahwinan, menurut beberapa teman mereka yang gembira dengan berita pasangan tersebut.
Pasangan tersebut telah berpacaran selama beberapa bulan dan menyambut malam tahun baharu di Crown Casino milik Packer di Melbourne, di mana Carey muncul di pentas dan membuat persembahan di hadapan penonton termasuk ibu Packer.
“Saya sangat teruja berada di Melbourne bersama James untuk malam tahun baharu,” ujar penyanyi bersuara serak itu pada majlis tersebut.
Seorang teman rapat pasangan berkenaan mengesahkan perkahwinan yang bakal berlangsung dan menyatakan dia amat gembira kerana “James telah menemui kegembiraan bersama Mariah”.
The Sydney Morning Herald melaporkan Packer melamar teman wanitanya di New York, Khamis lalu.
Sumber yang rapat dengan keluarga Packer berkata “keluarga tersebut amat gembira kerana mereka bertemu antara satu sama lain," lapor akhbar berkenaan.
“Mariah telah menjadikan James lelaki yang amat bahagia, dia insan istimewa dan seluruh keluarga merestuinya,” tambah akhbar itu.
Laman hiburan E! News menyifatkan cincin pertunangannya sebagai “mengagumkan” dan menyatakan batu cincin tersebut seberat 35-karat.
Carey yang terkenal dengan suara lima oktafnya pernah mengahwini artis rap dan pelakon Nick Cannon dan mereka berkongsi anak kembar. Perkahwinannya sebelum itu dengan penerbit muzik legenda Tony Mottola berakhir dengan perceraian pada tahun 1998.
Packer, 48, mempunyai tiga orang cahaya mata melalui perkahwinan dengan isteri kedua, Erica Baxter. Dia menguruskan empayar perjudian antarabangsa Crown, salah satu kumpulan hiburan terbesar Australia.
#Australia #James Packer #mariah carey
;