Bintang K-pop Se7en dan pelakon Lee Da-hae umum bakal berkahwin

Astro Awani
Mac 21, 2023 03:20 MYT
Majlis perkahwinan itu akan berlangsung pada 6 Mei nanti. - Foto Instagram/leedahey4eva
PASANGAN selebriti Korea Selatan Se7en dan Lee Da-hae bakal berkahwin pada bulan Mei.
Penyanyi K-Pop dan tunang aktresnya berkongsi berita perkahwinan mereka dalam siaran berasingan di laman media sosial, Instagram.
Se7en atau nama sebenarnya Choi Dong-wook berkata, majlis perkahwinan itu akan berlangsung pada 6 Mei nanti.
"Saya telah berikrar untuk mengahwini teman wanita saya Lee Da-hae yang sentiasa memeluk saya dengan penuh kasih sayang dan berkongsi kegembiraan serta kesedihan bersama sejak lapan tahun lalu,” katanya.
Mengikrarkan komitmennya kepada bakal pengantinnya, penyanyi berusia 38 tahun itu menulis: “Mulai sekarang, saya akan menjadi lebih bertanggungjawab sebagai ketua keluarga dan suami.”
Catatan Lee di laman Instagramnya disertakan dengan beberapa keping gambar perkahwinan.
Di Korea Selatan, pasangan biasanya mengambil gambar perkahwinan mereka sebelum majlis dan kemudian menggunakannya sebagai imej untuk jemputan digital dan media sosial.
Siaran itu memaparkan empat gambar pasangan bahagia itu dalam tetapan berbeza menggunakan pakaian berbeza.
Sementara itu, Lee berkongsikan bahawa beliau masih segan dan malu untuk berkongsi berita gembira itu walaupun telah menjadi pasangan kekasih selama lapan tahun.
“Kami telah berikrar untuk menjadi suami isteri pada Mei ini. Walaupun saya masih terbiasa memanggilnya 'teman lelaki,' saya akan lebih bertimbang rasa dan menjadi penyokong yang lebih besar untuk 'dia,' yang memberi saya kebahagiaan besar dengan tinggal di sisi saya dan kini akan menjadi teman untuk selama-lamanya
"Ia akan menjadi kebahagiaan yang besar bagi kami jika kami dapat berkahwin dalam cinta dan restu anda," ujar Lee.
Se7en mengeluarkan album sulungnya "Just Listen" pada tahun 2003.
Kerjayanya juga telah berkembang ke bidang lakonan dan pada tahun 2007, beliau memainkan peranan utama dalam drama televisyen "Goong S" (Palace S).
Beliau juga telah membintangi empat muzikal dan banyak iklan termasuk untuk Coca-Cola.
Lee pula telah muncul dalam banyak drama televisyen popular termasuk "Good Witch" pada 2018, "Chuno" ("Slave Hunters") pada 2010 dan filem pengintip 2013 "IRIS 2."
#Se7en #Lee Da-hae #berkahwin #K-pop