Bintang filem My Best Friend's Wedding berkongsi nostalgia dua dekad

Agensi
Februari 8, 2019 17:50 MYT
SETELAH 20 tahun filem itu dikeluarkan, Julia Roberts, Dermot Mulroney, Cameron Diaz dan Rupert Everett dipanggil semula untuk sebuah photoshoot majalah Entertainment Weekly. -Instagram @entertainmentweekly
Bagi peminat filem romantik, pasti anda pernah menonton filem My Best Friend's Wedding arahan P. J. Hogan yang popular sekitar tahun 1997 itu.
Filem ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat di seluruh dunia terutamanya di Malaysia, malah ia boleh dikatakan satu filem paling ikonik pada tahun 90-an.
Bagi mengimbas kembali fenomena filem kegemaran ramai ini, majalah Entertainment Weekly mengundang semula barisan pelakon filem berkenaan bagi menghiasi cover majalah itu.
Pelakon utama filem itu, Julia Roberts, Dermot Mulroney, Cameron Diaz dan Rupert Everett diundang bagi menjayakan sesi fotografi yang penuh nostalgia dan glamor.
Barisan pelakon itu juga berkongsi memori mereka ketika berada di dalam set penggambaran filem yang memperkenalkan Cameron Diaz dalam dunia perfileman Hollywood di permulaan karier lakonannya.
"Saya fikir ia benar-benar menarik dan kelakar. Adegan jatuh cinta dengan Micheal (nama watak yang dilakonkan oleh Dermot Mulroney) sangat ringkas manis dan bermakna," kata Julia Roberts.
Malah, pelakon Rupert Everett juga berkongsi rasa gembira berada di set penggambaran itu.
“Pada saya ia sangat magikal. Ia buatkan saya menangis dan berfikir betapa indahnya musim panas pada waktu itu,” kata Everett ketika mengimbau kembali kenangan itu.
Lain pula dengan Diaz, dia menceritakan perasaan takut ketika memegang watak itu terutamanya ketika babak Kimberly menyanyikan lagu "I Just Don't Know What to Do with Myself" di karaoke.
“Saya sangat takut untuk melakukan babak itu. Saya tidak pernah menyanyi di hadapan orang ramai sebelum ini. Saya sangat takut sehingga ingin lari dan sembunyi tetapi Dermot menenangkan saya,” kata Diaz.
Pelakon Mulroney juga teringat momen yang sangat menarik ketika penggambaran di Chicago.
"Saya teringat semasa kami berlakon di bawah beberapa jambatan di situ dan di setiap jambatan yang menjadi lokasi lakonan kami itu, ramai peminat menjerit nama saya dan Robert,” ujar Mulroney.
Ternyata walaupun setelah 20 tahun filem itu dikeluarkan, masih ramai yang obses dengan jalan cerita dan babak yang ada di dalam filem itu.
#Cameron Diaz #Dermot Mulroney #filem #Hollywood #Julia Roberts #memori #My Best Friend's Wedding #P J Hogan #peminat filem #Rupert Everett
;