Bintang country, Dolly Parton terima AS$100 juta daripada Jeff Bezos

Agensi
November 14, 2022 21:30 MYT
Parton adalah penyokong berprofil tinggi badan amal dan mengasaskan Yayasan Dollywood. - Gambar/ Reuters
BINTANG muzik country, Dolly Parton telah dianugerahkan hadiah AS$100 juta oleh pengasas Amazon, Jeff Bezos, yang diangkat sebagai penerima anugerah Bezos Courage and Civility.
Parton digambarkan sebagai 'seorang wanita yang memberi dengan hati dan memimpin dengan kasih sayang serta belas kasihan dalam setiap aspek'.
Anugerah Bezos Courage and Civility mengiktiraf pemimpin yang 'mengejar solusi dengan keberanian dan beradab'.
"Saya fikir mereka yang berada dalam kedudukan yang boleh membantu, harus berbuat sesuatu yang boleh membawa perubahan. Saya akan melakukan yang terbaik dengan wang ini," kata Parton.
Anugerah itu bermula pada 2021, dengan pengiktirafan diberikan kepada aktivis Van Jones dan chef serta aktivis kemanusiaan Jose Andres, pengasas World Central Kitchen, yang menyediakan makanan di kawasan yang dilanda bencana di seluruh dunia.
Parton, penyanyi dan penulis lagu, pelakon serta ahli perniagaan, adalah penyokong berprofil tinggi badan amal dan mengasaskan Yayasan Dollywood, yang meletakkan pendidikan sebagai matlamat utama mereka.
Parton juga sangat lantang dalam menyokong program vaksinasi COVID-19.
#Dolly Parton #Jeff Bezos #aktivis #kegiatan amal
;