Bintang Big Stage 2020, Sandra Dianne meninggal dunia
Isabelle Leong
September 10, 2020 06:35 MYT
September 10, 2020 06:35 MYT
PENYANYI dan peserta Big Stage musim ketiga, Sandra Dianne dilaporkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya pada awal hari ini.
Berita sedih mengenai pemergian Sandra, 26 tahun, itu dikongsikan rakan penyanyinya, Sufie Rashid di laman Instagram peribadinya.
“Selamat pulang ke rahmatullah sahabatku. Anda seorang rakan baik yang mempunyai hati yang mulia.
“Terima kasih sebab beri saya peluang untuk satu pentas dengan awak.
“Semoga awak tenang di sana. Innalillahiwainnailaihirojiun,” kata Sufie menerusi satu entri di Instagram awal pagi ini.
Rakan seperjuangan Sandra dalam program realiti Big Stage 2020, Usop, turut berkongsikan berita duka menerusi satu entri di laman Instagram peribadinya dengan kapsyen yang berbunyi:
“Assalamualaikum semua. Tolong sedekahkan al-Fatihah untuk sahabat seperjuangan saya yang kini telah pulang keramatullah.
“Sandra rehat k. Al-Fatihah,” kata peserta Big Stage berkenaan.
Pada Sabtu lalu, Sandra, atau nama sebenarnya Alessandra Dianne Ampuria dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).
Insiden tersebut berlaku tatkala penyanyi kelahiran Sabah tersebut sedang menuju ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk menjalani sesi latihan penuh konsert minggu keempat.
Penyanyi lagu ‘Hey ! Kau’ itu kemudiannya tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya.
#Big Stage 2020
#hospital putrajaya
#ICU
#Instagram
#kemalangan
#kemalangan jalan raya
#LDP
#meninggal dunia
#Sandra Dianne
#Sufie Rashid
#unit rawatan rapi
#Usop