Bila wanita berhijab jadi antagonis, penonton pula marah
Gempak
Ogos 2, 2018 19:05 MYT
Ogos 2, 2018 19:05 MYT
LAKONAN watak wanita berhijab yang ditampilkan sebagai antagonis dalam sebuah drama popular baru-baru ini mengundang banyak pertikaian dalam kalangan penonton termasuk penggiat seni.
Pengarah filem, Dr Anwardi Jamil berpandangan ramai penonton mengkritik drama Melayu itu kerana watak wanita berhijab digambarkan dengan perangai negatif.
"Secara logik, apa yang dimaksudkan penonton adalah hanya wanita tidak bertudung sepatutnya membawa katakter jahat dalam drama tempatan," katanya menerusi status di Facebook, Anwardi Datuk Jamil.
Ujarnya, apabila stesen TV menerima kritikan penonton ketika watak wanita tidak bertudung dilakonkan dalam drama tempatan, penonton secara tidak langsung tahu dia adalah watak jahat.
"Lepas tu, diorang kutuk, kenapa watak Melayu jer yang jahat. Lepas tu pula kenapa orang yang ada pangkat Dato saja yang menggatal.
"Lepas tu pula kenapa orang Islam dalam (drama) kita main peranan jahat. So, drama kita, orang jahat mesti i) tidak bertudung ii) bukan Islam iii) bukan Melayu iii) tidak perpangkat. Entah entah kalau hensem pun tak boleh pegang watak jahat...," katanya.
Dalam status sama, seorang netizen dikenali sebagai Noor Haizat memberi komen dengan menyatakan dia tidak bersetuju dengan pandangan sedemikian kerana melihat imej Islam perlu dijaga.
"Hijab/tudung tetap menjadi imej Islam di mana-mana media," katanya.
Begitu juga, pandangan sama dikongsi Nad Abdul Shatar yang menyifatkan komen penonton itu adalah kerana mentaliti.
"Ini pun jadi isu.. yang bertudung bukan malaikat juga...," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi