Bila nak beraksi? Wonder Woman masih direhatkan lagi, tunggu Krismas pula

Agensi
September 12, 2020 18:33 MYT
Filem yang dibintangi Gal Gadot itu sebelum ini dijadual untuk dilancar pada 2 Oktober, namun kini dilanjutkan lagi sehingga 25 Disember. - Instagram
Studio filem The Warner Bros pada Jumaat mengumumkan penangguhan pelancaran tayangan perdana sekuel adiwira wanita, Wonder Woman 1984, sehingga Hari Natal tahun ini.
Reuters melaporkan, keputusan itu dibuat memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih belum menunjukkan petanda baik.
Filem yang dibintangi Gal Gadot itu sebelum ini dijadual untuk dilancar pada 2 Oktober, namun kini dilanjutkan lagi sehingga 25 Disember.
Pembikinannya dikategorikan sebagai filem Hollywood berbajet besar yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat seluruh dunia.
"Ini kerana saya tahu betapa pentingnya membawakan filem ini ke layar perak untuk kita menikmati pengalaman menonton bersama-sama. Saya berharap anda tidak kisah jika terpaksa menunggu lebih lama,” ujar Patty Jenkins.
Banyak studio filem menjadual semula tayangan filem masing-masing selama berbulan-bulan sementara industri hiburan cuba untuk pulih daripada pandemik COVID-19, sejak ditutup pada Mac lalu.
Sudah ada panggung wayang yang kembali beroperasi namun perlu patuh pada had kapasiti tertentu dan prosedur operasi standard kesihatan.
Sementara operasi di China, yang merupakan pasaran filem kedua terbesar di dunia, kembali bernyawa, Amerika Syarikat pula masih menutup pintu panggung wayangnya termasuk di bandar raya Los Angeles dan New York.
Antara filem blockbuster Hollywood lain yang dinantikan peminat adalah Black Widow dan filem James Bond, No Time To Die.
#COVID-19 #filem #hiburan #Hollywood #pandemik #wonder woman #wonder woman 1984
;