Bila Aafiyah, Lara, Yusof Iskandar masuk sekolah...

Astro Awani
Januari 4, 2019 11:02 MYT
Bagaimana aksi dan gelagat mereka agaknya apabila menempuhi hari pertama persekolahan apabila mereka menginjak usia 7 tahun nanti..?
Lara Alana, Aaisyah Dhia Rania, Yusoff Iskandar, Ariff Jiwa & Siti Aafiyah.
Jutaan pengikut di Instagram, anak kepada pasangan selebriti, ada yang sudah punya pendapatan sendiri malah masyarakat sudah mengenali mereka sejak mereka berselimut putih.
Bagaimana aksi dan gelagat mereka agaknya apabila menempuhi hari pertama persekolahan apabila mereka menginjak usia 7 tahun nanti..?
Bila agaknya mereka bakal memulakan sesi persekolahan rendah mereka. Kami ada senarainya untuk anda.
1. Lara Alana Ahmad Awaluddin
Anak pasangan Awal Ashaari dan Scha Al Yahya ini mempunya 3.4 juta followers di Instagram. Setiap perkembangan Lara menjadi buah mulut masyarakat yang seolah-olah memahami anak kecil ini walaupun hanya melalui gambar di Instagram. Pernah muncul dalam rancangan realiti Lara oh Lara, si cilik ini juga bergelar duta kepada beberapa produk. Tidak hairanlah apabila seawal usia tiga tahun Lara sudah pun menfailkan cukai pendapatannya di LHDN. Sudah pun memulakan sesi pra-persekolahan, Lara Alana akan memasuki Tahun 1 pada 2021 nanti.
BACA: Awal Ashaari nafi guna Lara Alana raih pendapatan
2. Aaisyah Dhia Rana Zain
Lincah, bijak dan petah berbicara, tampil bergaya sama seperti ibunya, anak perempuan tunggal hasil perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain Saidin ini sering mencuit hati masyarakat. Namun itu bukan jaminan untuk akaun Instagram anak kecil ini daripada tidak diserang netizen yang memberikan komen jahat yang menimbulkan kontroversi. Ramai juga cuba membandingkan personaliti Aaisyah dan Lara walaupun jiwa suci anak kecil ini tidak mengerti sikap negatif segelintir pengguna media sosial. Sama seperti Lara, Aaisyah juga akan memulakan sesi persekolahan pada tahun 2021.
BACA: Pertama kali Lara dan Aaisyah bergabung dalam photoshoot... too cute!
3. Yusof Iskandar Hairul Azreen
Yusuf beruntung mempunyai ibu yang merupakan selebriti di platform digital dan juga bapa yang bijak merakamkan setiap aksinya. Dengan gabungan itu, pengikut akaun Instagramnya bagaikan larut dengan penceritaan sepanjang Yusuf membesar. Terpilih sebagai Si Cilik Meletop di Anugerah Meletop ERA 2017, Yusuf juga cukup akrab dengan ‘abangnya’ Bujibu Chempel. Keluarga bahagia ini juga bakal menyambut ahli baharu apabila Hanis Zalikha disahkan mengandung anak kedua. Yusuf pula bakal masuk darjah satu di tahun 2023.
BACA : 'Seorang lagi' , status Bujibu buat netizen terhibur, Hairul bakal timang anak kedua
4. Arif Jiwa Asyraf
Belahan jiwa selebriti asal Indonesia, Tya Ariffin dan Asyraf Khalid ini cepat mencipta populariti di media sosial. Tidak dinafikan ianya disebabkan anak kecil ini lahir dalam keluarga yang ‘berprofil tinggi’ namun yang lebih memikat hati masyarakat baik di Malaysia dan Indonesia ialah aksi dan kapsyen lucu Arif. Sering menyapa pengikutnya dengan panggilan ‘UncleOnty’, ramai juga yang mengintai akaun Arif untuk melihat ibu saudaranya, Siti Aafiyah. Di Anugerah Meletop ERA 2018, Arif dipilih untuk memenangi kategori Si Cilik Meletop. Tahun 2024, menjadi permulaan untuk Arif memulakan sesi persekolahan rendah.
BACA: Siti Nurhaliza kongsi pengalaman berada di bilik bersalin, saksikan kelahiran cucunya
5. Siti Aafiyah Khalid
Ibunya penyanyi kesayangan Malaysia. Tidak hairanlah satu Malaysia juga bagaikan sama menanti kelahiran puteri Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Seri Khalid Jiwa. Walaupun tidak mempunyai akaun media sosial yang didedikasikan khas untuknya, tetapi popularitinya kini menandingi ibunya sendiri. Ramai juga yang sentiasa menunggu Siti untuk berkongsikan foto atau video si cilik yang menjadi kesayangan ramai ini. Aafiyah yang paling muda dalam senarai kami ini akan menjejakkan kaki ke sekolah rendah pada tahun 2025 nanti.
Mengikuti anak-anak comel ini, ramai di antara kita terpesona dan bagaikan sudah mengenali mereka sama seperti ibu bapa mereka. Apabila melihat ke masa akan datang, bagaimana agaknya hari persekolahan pertama mereka nanti. Bagaimana reaksi rakan-rakan sebaya dan gurup-guru di sekolah. Adakah anak-anak ini mampu menangani populariti yang diraih mereka.
Menurut Prof Datin Dr Mariani Md Nor, pakar psikologi dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, secara psikologi si cilik glamor ini sama seperti anak-anak sebaya yang lain namun populariti yang mereka raih akan menjadi cabaran pertama mereka di hari persekolahan.
“Mereka bukan sahaja dikenali rakan sebaya, tapi orang dewasa. Ke mana sahaja mereka pergi,mereka akan dipandang, dilihat lebih lama berbanding yang lain. Ini akan menyebabkan mereka menjadi janggal”, kata Dr Mariani ketika dihubungi Astro Awani.
“Ini akan memberi kesan pada keyakinan dan pergaulan anak-anak ini.”
“Anak-anak di bawah umur 7 tahun, mereka berada dalam lingkung usia pertengahan kanak-kanak. Psikologi mereka masih mencari identiti sendiri, namun bagi selebriti cilik ini mereka sudah punyai identiti mereka sendiri”.
Ujar Dr Mariani, ibu bapa mereka harus melakukan persediaan awal supaya anak mereka tidak mengalami tekanan di sekolah.
“Ibu bapa perlu maklumkan pada mereka yang mereka sedikit berlainan dengan kanak-kanak lain. Mereka dikenali dan popular. Ini dapat elak mereka daripada tertekan bila berhadapan dengan rakan-rakan dan guru di sekolah”.
#Aaisyah Dhia Rana #Arif Jiwa #Awal Ashaari #Bujibu Chempel #Indonesia #Kanak-kanak #Lara Alana #Rozita Che Wan #Scha Al Yahya #Siti Aafiyah #Siti Nurhaliza #Tahun 1 #Yusuf Iskandar #Zain Saidin
;