BigBang bakal gegar Kuala Lumpur Jumaat
Bernama
Julai 23, 2015 22:14 MYT
Julai 23, 2015 22:14 MYT
Stadium Putra Bukit Jalil bakal digegarkan oleh kumpulan K-Pop terkenal, BigBang selama dua hari bermula esok.
Wakil penganjur IME Productions, Rachel berkata tiket acara BigBang 2015 World Tour [Made] In Malaysia pada 25 Julai ini telahpun habis dijual manakala tiket pada 24 Julai juga hampir habis dijual.
Malaysia merupakan negara keenam lokasi konsert jelajah kumpulan itu selepas Korea Selatan, China, Hongkong, Thailand dan Singapura dan populariti kumpulan idola Korea Selatan itu dijangka bakal menarik sejumlah besar peminat antarabangsa ke sini.
Kumpulan BigBang terdiri daripada lima anak muda iaitu G-Dragon, T.O.P, Taeyang, Daesung, dan Seungri dan terkenal dengan lagu hits mereka "Haru-Haru" dan "Fantastic Baby" yang mendapat tontonan lebih 150 juta di YouTube.