Big Stage: "Tiada istilah 'education shaming'" - Dayang Nurfaizah bidas kritikan tidak berasas

Asyraf Roslan
September 29, 2020 12:00 MYT
Bagi Dayang Nurfaizah, sebagai penyanyi seharusnya bersedia dengan cabaran khususnya selepas diberi tugasan menyanyikan apa sahaja genre atau konsep lagu. - Instagram Dayang Nurfaizah
PUTRAJAYA: Sudah masuk minggu separuh akhir program Big Stage, namun masih ada peserta yang menggunakan alasan tidak selesa menyanyikan lagu berbahasa Inggeris.
Sebilangan daripada peserta memberi alasan tidak selesa menyampaikan lagu sedemikian menyebabkan penghayatan mereka kurang menjadi.
Sesiapa sahaja sedia maklum, setiap seorang daripada kita pasti mempunyai kelemahan atau kekurangan dalam diri mereka.
Namun, apabila sudah memilih untuk menjadi anak seni, alasan sedemikian barangkali sudah tidak lagi relevan.
Lihat sahaja bagaimana juara Big Stage musim lalu, Han Byul dari Korea yang membuktikan dia mampu menyampaikan lagu Melayu dengan baik, sedangkan itu bukan bahasa ibundanya.
Ketidakselesaan menyampaikan lagu Inggeris dalam kalangan peserta Big Stage mendapat teguran daripada juri tetap program itu, Dayang Nurfaizah yang menegaskan, tidak seharusnya ada yang memberi alasan sedemikian apabila diberi tugasan.
Kata penyanyi lagu Di Pintu Syurga itu, sebagai seorang penyanyi, setiap peserta seharusnya mengambil perkara itu sebagai cabaran dan melaksanakan persembahan dengan sebaiknya.
Menurutnya, jika mereka terlalu berjaga-jaga, tindakan sedemikian hanya akan menganggu keseluruhan persembahan peserta.
"Perkara itu tidak sepatutnya dijadikan alasan yang anda tak biasa menyanyikan lagu tersebut, sebab kalau di luar nanti (selesai Big Stage) anda kena nyanyi lagu yang orang minta atau lagu-lagu yang memang anda kena nyanyi.
"Sebagai penyanyi anda kena persembahkan nyanyian itu dengan sebaiknya sebab mereka (penonton) nak tengok" kata Dayang Nurfaiza memberi pandangan kepada Astro AWANI.
BACA: Big Stage 2020: Azzam Sham, Usop mara ke pentas akhir, nasib tak menyebelahi Farisha Iris
Dalam masa sama, penyanyi kelahiran Bumi Kenyalang itu berkata, tidak timbul istilah 'education shaming' dalam konteks penjurian yang diberikan pada malam separuh akhir Big Stage.
"Sebenarnya mereka (netizen) tidak faham konteks yang kami (juri) cuba sampaikan, kami bukan minta peserta untuk membuat lagu berbahasa Inggeris atau berucap, kami minta jika mereka tidak faham mereka kena bertanya.
"Kalau kita boleh menyanyikan lagu Bollywood atau K-pop kenapa kita tidak boleh nyanyi lagu Inggeris, jadi bagi saya tidak timbul istilah education shaming dalam hal ini," tambahnya.
Minggu separuh akhir Big Stage pada Ahad menyaksikan Farisha Iris terpaksa mengucapkan selamat tinggal apabila mendapat markah terendah.
Manakala Usop, Qody Rany, Dinie Rashid, Fadh Majid dan Azzam Sham pula berjaya mara ke pusingan akhir.
#Big Stage #BBNU #Dayang Nurfaizah #Education Shaming #Bollywood #Korea Selatan
;