Big Stage: Qody Rany idam berlakon dengan Rosyam Nor
Asyraf Roslan
Oktober 7, 2020 11:59 MYT
Oktober 7, 2020 11:59 MYT
KUALA LUMPUR: Untuk menjadi seorang anak seni yang berjaya, kita tidak boleh terlalu selesa dengan sentiasa berada pada tahap yang sama sahaja.
Ada masanya, kita perlu mencuba sesuatu yang baharu untuk mencabar diri sendiri agar menjadi lebih baik.
Lapan minggu bersaing di pentas Big Stage memberikan satu inspirasi baru buat penyanyi Qody Rany mencuba bidang lakonan.
Menurut Qody, jika diberi peluang memulakan karier lakonan, dia teringin memainkan watak yang serius atau sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU).
"Saya rasa kalau saya dapat peluang tu, saya nak memainkan watak kawan kepada hero sebagai permulaan.
"Jika bagi saya watak yang serius atau OKU pun saya terima, sebab saya rasa saya boleh jayakan watak sebegitu.
"Semasa dalam Big Stage pun, macam-macam karakter saya bawa untuk persembahan saya," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani, 26 tahun, juga menyatakan jika peluang itu datang, dia teringin berlakon bersama pelakon dan pengarah Datuk Rosyam Nor.
Baginya, sekiranya dapat bergandingan dengan pelakon yang popular dengan watak Castello itu, ia merupakan satu peluang keemasan buat dirinya.
Selain itu, dia juga teringin untuk berada di dalam satu 'frame' bersama Shukri Yahaya dan Sharnaz Ahmad di dalam drama atau filem.
Pada masa sama, Qody yang merupakan pemenang tempat ketiga program Big Stage 2020 juga berkongsi bahawa dia baharu sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Egois.
Lagu ciptaan Ikhwan Fatana dan Wan Salleh itu sudah berada di platform media sosial untuk distream oleh pendengar.
Qody juga berkongsi berita akan merakamkan video muzik itu di tempat kelahirannya iaitu Pulau Langkawi, Kedah.