Big Stage: Kak Lina tak baca komen negatif sebab...
Asyraf Roslan
September 21, 2020 08:37 MYT
September 21, 2020 08:37 MYT
KEHADIRAN pelakon dan pengacara, Elly Mazlien sebagai Presiden Netizen disambut baik peminat program hiburan Big Stage.
Rata-rata melihat kemunculan pelakon yang lebih mesra disapa sebagai Kak Lina itu memeriahkan program tersebut dan menjalankan tugas sebagai Presiden Netizen dengan sangat baik.
Namun dalam kemeriahan tersebut, masih ada netizen yang mempertikaikan mengapa Kak Lina hanya membacakan komen-komen yang positif sahaja.
Menurut Kak Lina, apa yang dilakukannya adalah untuk menaikan semangat peserta-peserta Big Stage.
"Astro bagi saya kebebasan untuk membaca komen daripada netizen di sosial media.
"Bukan saya tak nak baca, tapi juri sudah pun bagi komen mengenai nyanyian mereka, jadi tujuan saya bacakan komen yang positif adalah untuk menaikan semangat peserta supaya mereka boleh buat lebih baik lagi pada masa akan datang" ujarnya.
Pada masa sama, semua sedia maklum bahawa Astro pernah mengumumkan terdapat tiga Presiden Netizen iaitu Neelofa, Caprice dan juga pengarah Michael Ang.
Tetapi kehadiran Kak Lina lebih kerap dilihat dalam program hiburan tersebut.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal presiden-presiden sebelum ini sedia maklum bahawa pemilihan untuk menjadi Presiden Netizen ini bergantung kepada permintaan netizen di luar sana.
"Kami pernah umumkan dahulu ia bergantung kepada Netizen Memilih, jadi nak tahu siapa yang bakal menjadi Presiden Netizen bergantung kepada permintaan.
"Ada juga yang mahukan Neelofa kembali, ada yang mahukan Michael Ang, ia sebenarnya bergantung kepada majoriti" katanya semasa sidang media Big Stage 2020 yang diadakan di Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).