Big Stage 2023: Tidak suka Farhan Shah? Ini penjelasan Aina Abdul...
Asyraf Roslan
Jun 12, 2023 11:19 MYT
Jun 12, 2023 11:19 MYT
SHAH ALAM: Juri tetap Big Stage 2023, Aina Abdul agak terkejut apabila dia didakwa tidak menyukai salah seorang peserta iaitu Farhan Shah sehingga memberinya markah yang agak rendah pada minggu kelima.
Menurut Aina, selepas minggu kedua dia suka dengan kehadiran Farhan yang menyanyikan lagu Mercy, namun selepas minggu berganti minggu taring itu hilang sehingga tidak dapat merasakan apa yang cuba disampaikan bintang muda itu di pentas Big Stage.
“Ini adalah pertandingan, jadi saya menjurikan semua peserta secara adil,
“Sebenarnya untuk Farhan saya suka dia selepas minggu kedua, sebab week 2 he really blown me away, tapi kenapa saya bagi dia markah rendah minggu lepas kerana persembahan dia tidak sampai ke hati saya dan ada beberapa teknikal nyanyian, saya cuba mencari kesedapan tapi saya tidak dapat.
“Untuk minggu ini saya juga dapat rasakan jiwa Farhan penat, jiwa dia letih untuk show kita nampak dia bersemangat dia cuba menonjolkannya tapi ia tidak sampai ” kata Aina Abdul ketika ditemui Astro AWANI.
Pelantun lagu Terus Hidup itu juga turut menyatakan jika bicara mengenai keputusan Imuniti X yang dibuat itu bukanlah keputusan peribadi namun ia adalah hasil perbincangan bersama juri-juri yang lain juga.
“Kalau cakap mengenai Imuniti X, ia bukan keputusan saya seorang sebab saya berbincang dengan abang Ajai dan Datuk Seri Rossa juga ada bagi padangan jadi semua orang memberi pendapat yang sama bahawa Farhan harus pergi.
“Nothing personal dan saya harap Farhan tidak fikir yang bukan-bukan, Farhan boleh DM dan bercakap dengan saya tapi Aina tak dapat rasa persembahan dia macam dia bagi semasa minggu kedua” kata Aina.
Peserta Big Stage diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Aina Abdul.
Mereka juga ditemani dua juri jemputan iaitu penaja utama yang juga pelakon, Aeril Zafrel (Presiden Netizen) dan Rossa sebagai juri jemputan untuk minggu keenam.
Big Stage 2023 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose dan bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam serta dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.