Big Stage 2023: Tiada penyingkiran, Hoondoo juarai minggu kelima
Asyraf Roslan
Jun 5, 2023 09:30 MYT
Jun 5, 2023 09:30 MYT
SHAH ALAM: Suatu keajaiban.
Tiga peserta Big Stage 2023, Farhan Shah, Coex dan Firdaus Rahmat mampu menarik nafas lega apabila tiada penyingkiran berlaku untuk minggu kelima.
Persembahan mereka yang kurang menambat hati juri hampir mengorbankan kedudukan mereka di dalam program hiburan tersebut.
Coex hanya mendapat 41.67 markah keseluruhan manakala Farhan Shah (46.67) dan Firdaus Rahmat (47.00) menerusi lagu Coba nyanyian asal Faizal Tahir.
Sementara itu, persembahan bertenaga daripada Dem Lepak Boys dengan lagu Benci Bilang Cinta nyanyian asal Radja melayakkan mereka untuk mendapat anugerah Dominasi Persembahan terbaik untuk minggu kelima.
Manakala Hoondoo berjaya merampas kedudukan Waode apabila menduduki tangga pertama untuk minggu ini dengan 85.33 markah.
Bagi tugasan minggu keenam kesemua peserta akan membawakan lagu bertemakan “Wow Wa What’s next”.
Peserta Big Stage diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Aina Abdul.
Mereka juga ditemani dua juri jemputan iaitu pelakon, Amir Ahnaf (Presiden Netizen), dan Datuk Ramli MS sebagai juri jemputan untuk minggu keempat.
Big Stage 2023 dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose dan bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam serta dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria.
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh di strim di aplikasi Astro Go.