Big Stage 2023: "Saya minta maaf, minggu depan saya..." - Naufal Azrin
Asyraf Roslan
Mei 15, 2023 16:00 MYT
Mei 15, 2023 16:00 MYT
SHAH ALAM: Peserta Big Stage 2023, Naufal Azrin mengakui terkejut apabila diselamatkan daripada penyingkiran oleh juri tetap, Ajai dan Aina Abdul dengan menggunakan Imuniti X.
Pada saat namanya diumum, Naufal akui sudah pasrah dengan keputusan dan menganggap ia bukan rezekinya untuk meneruskan perjuangannya di pentas Big Stage musim kelima.
“Masa nama saya keluar, saya dah pasrah dan anggap tiada rezeki saya di sini, mungkin ada rezeki di tempat lain.
“Tetapi bila juri selamatkan saya dengan menggunakan imuniti X, alhamdulillah saya bersyukur tetapi saya tetap berduka sebab terpaksa kehilangan Isaac Voo,” katanya.
Tambah Naufal, malam itu setiap peserta telah memberikan yang terbaik termasuk dirinya.
Namun persembahan Generasiku yang kurang menambat hati juri oleh Naufal meletakkan dirinya di zon bahaya bersama Aufahanie dan Isaac Voo apabila mereka diumumkan sebagai tiga peserta dengan markah terendah.
Pada masa yang sama, Naufal juga memohon maaf kepada peminat-peminat Isaac jika dirinya menjadi punca Isaac disingkirkan pada minggu ini.
“Saya minta maaf kepada peminat Isaac, saya memang tiada niat dan saya rasa memang saya yang patut keluar tetapi akhirnya Isaac yang terkeluar.
“Tapi saya janji dengan anda saya akan bayar minggu depan,” tambahnya.
Untuk tema Asmaraloka di minggu hadapan, Naufal bakal mendendangkan lagu Only nyanyian asal LeeHi.
Program yang dikendalikan oleh Elly Mazlien dan Rina Nose ini bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.