Big Stage 2023: Komen kasar? Isaac Voo tidak berkecil hati dengan Ajai
Asyraf Roslan
Mei 15, 2023 11:20 MYT
Mei 15, 2023 11:20 MYT
SHAH ALAM: Sudah berikan yang terbaik namun rezekinya bukan di sini.
Peserta Big Stage, Isaac Voo terpaksa menerima penyingkirannya dengan hati yang terbuka selepas juri tetap, Ajai dan Aina Abdul membuat keputusan untuk menyelamatkan Naufal Azrin menggunakan Imuniti X, seterusnya menyingkirkan dirinya di minggu kedua.
Penuh dengan aura positif, Isaac, 28, percaya ada sebab mengapa juri memilihnya untuk meninggalkan program itu meskipun masih terlalu awal.
“Saya tidak berapa sihat sebenarnya, tapi saya tetap memberikan yang terbaik pada malam ini. Saya percaya juri memilih kerana mereka ada sebab mereka.
“Tapi saya percaya juri memilih saya kerana mereka ada sebab mereka, tidak mungkin mereka buat keputusan saja-saja, jadi saya akan cuba buat yang terbaik dan mengambil komen Ajai untuk memperbaiki diri saya pada masa akan datang,” katanya kepada media.
Pada masa sama, Isaac juga menyatakan bahawa dia langsung tidak berkecil hati dengan komen yang diberikan oleh Ajai, malah dia menganggapnya sebagai satu pembakar semangat untuk terus berkembang dalam industri muzik tanah air.
“Saya tidak terasa hati dengan abang Ajai, sebab macam saya cakap ada sebab mereka duduk disana sebagai juri, saya menerima apa teguran dengan hati yang terbuka.
“Ini adalah salah satu sebab juga mengapa saya sertai Big Stage kerana saya nak tahu mana yang saya perlu improve dalam nyanyian saya,” tambahnya
Isaac yang juga merupakan Ahli kumpulan IN2IT, memohon maaf kepada semua peminat yang telah menyokongnya kerana tidak dapat meneruskan perjuangan di Big Stage Musim 5.
Program yang dikendalikan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose ini bersiaran secara langsung selama sepuluh minggu di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.