Big Stage 2023: Hoondoo jatuh cinta dengan lagu Melayu kerana Aina Abdul

Asyraf Roslan
Mei 9, 2023 14:39 MYT
Menurut Hoondoo, Aina Abdul menjadi penyanyi pertama yang membuatkan mereka jatuh cinta dengan lagu Melayu. -Foto Astro AWANI
JIKA anda gemar menonton video reaksi, nama peserta duo dari Korea, Hoondoo pasti tidak asing bagi anda.
Bukan sahaja memberi reaksi, malah Hoondoo juga turut banyak menyanyikan lagu cover penyanyi-penyanyi Malaysia.
Tapi, bagaimana mereka mengenali penyanyi dan lagu Malaysia?
Kata mereka, penyanyi Aina Abdul menjadi penyanyi pertama yang membuatkan mereka jatuh cinta dengan lagu Melayu.
“Pada mulanya kami dengar nyanyian Aina yang menyampaikan lagu Korea di YouTube, selepas itu kami cari lagu Aina di YouTube dan kami jatuh cinta.
“Jadi lagu pertama yang kami cover adalah Negaraku dan seterusnya adalah lagu Aina iaitu Sepi,” kata Hoon dan Doo kepada media.
Bukan sahaja lagu Aina Abdul, malah Hoondoo juga pernah menyanyikan lagu Kesetiaan (Siti Sarah), Hutang (Floor88), Gundah (Ernie Zakri), dan Cindai nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Pada masa sama, Hoondoo juga menyatakan bahawa mereka bersedia untuk mendendangkan lagu Melayu di Big Stage.
Namun, jika diberi lagu irama tradisional mungkin ada sedikit kesukaran buat mereka kerana harus mempelajari lenggok irama tradisional yang betul.
"Kalau di Korea, kami belajar bahasa dengan menggunakan Google Translate, tapi di sini kami ada Cikgu Shafi yang bantu kami untuk belajar bahasa Melayu.
"Kami bersedia untuk bawa lagu Melayu dan irama tradisional tapi mungkin akan susah sedikit kerana lenggok irama itu perlu betul," tambah mereka.
Kemunculan Hoondoo menghangatkan lagi pentas Big Stage 2023 yang baru sahaja membuka tirai pada Ahad lepas.
Mana tidaknya, kemunculan pertama mereka di pentas nyanyian Malaysia terus membuahkan hasil apabila memenangi Dominasi Persembahan Terbaik pilihan juri, sekali gus menduduki tangga pertama dengan 81 markah.
#Hoondoo #Aina Abdul #Big Stage 2023 #nyanyi lagu cover penyanyi Malaysia
;