Big Stage 2023: Akui kurang kekuatan vokal, Meer Nash janji lipat ganda usaha
Asyraf Roslan
Mei 29, 2023 15:17 MYT
Mei 29, 2023 15:17 MYT
SHAH ALAM: Akui sudah melakukan sehabis baik, namun akhirnya perjalanan peserta Big Stage 2023, Meer Nash terhenti setakat minggu keempat.
Persembahannya menerusi lagu Rapuh, nyanyian asal Nastia gagal menambat hati juri sekali gus meletakkan Meer di tangga tiga terbawah bersama Firdaus Rahmat dan Farhan Shah.
Mengakui rasa kecewa namun bagi dirinya ini adalah adat pertandingan, ada yang mara dan ada pula yang perlu pulang kerana penyingkiran.
“Kalau bukan sekarang, mungkin minggu depan atau minggu seterusnya tetapi saya tak sangka minggu ini sebab minggu depan saya akan bawakan lagu kegemaran saya daripada Bunkface 'Situasi', jadi saya agak kecewa sedikit,” ujar Meer Nash.
Mengulas mengenai penyertaannya dalam Big Stage 5, Meer Nash atau nama sebenarnya Muhammad Shahmeer Mohd Nasrul, 28, berkata dia banyak menimba ilmu walaupun rezekinya hanya bertahan selama empat minggu dalam program berkenaan.
“Sepanjang empat minggu berada dalam Big Stage 5 ini saya berpuas hati. Dulu masa kecil saya selalu salahkan diri saya kalau tidak buat yang terbaik tetapi bila sekarang, saya fikir balik segala apa yang saya dah buat adalah apa yang saya mampu. Kenapa saya nak salahkan diri saya.
“Jadi saya terima segala kekurangan dan saya cuba melakukan peningkatan sepanjang empat minggu di Big Stage ini seperti yang dinasihatkan abang Ajai,” jelasnya.
Pada masa sama, Meer yang meminati genre balada Indonesia mengakui bahawa dirinya masih lagi lemah dari segi kekuatan vokal dan akan berusaha lebih keras untuk terus menjadi lebih baik.
“Saya hanya boleh katakan kadang-kadang ada orang memang dilahirkan dengan kekuatan vokal yang bagus tapi bukan saya.
“Saya tidak dilahirkan dengan kekuatan vokal. Jadi saya harus bekerja lebih keras 10 atau 100 kali ganda berbanding dengan orang lain.
“Saya kena tahu yang saya seorang di atas pentas, saya tidak ada kumpulan yang nak tolong saya. Sebab itu saya perlu kerja keras dan saya akan belajar lagi apabila di luar nanti,” tambahnya.