Big Stage 2023: Aina Abdul terkejut, jawab dakwaan tak suka Farhan Shah
Gempak
Jun 13, 2023 13:06 MYT
Jun 13, 2023 13:06 MYT
JURI tetap Big Stage 5, Aina Abdul terkejut apabila dikatakan tidak menyukai bintang yang tersingkir di minggu keenam iaitu Farhan Shah.
Menurut Aina, dia membuat penjurian secara adil berdasarkan perkembangan prestasi dan juga persembahan setiap minggu.
“Sebenarnya untuk Farhan saya benar-benar menyokongnya selepas minggu kedua kerana minggu itu dia membuat saya terpukau.
“Dia lebih kepada pop jazz dan juga sedikit balada. Tetapi kenapa saya bagi dia rendah minggu lepas, tiada kaitan dengan perkara personal, saya sayang mereka semua secara sama rata,” katanya ketika ditemui Gempak.
ISU BERI 39 MARKAH PADA FARHAN
Menjelaskan lebih lanjut tentang jumlah 39 markah yang diberikan kepada Farhan minggu lalu, Aina berkata selepas minggu kedua prestasi bintang dari Singapura itu agak merosot.
“Ini adalah pertandingan, bila saya mendengar… Satu persembahannya tidak sampai ke hati saya. Kedua note yang Farhan cuba menyanyikan itu ada levelnya.
“Dia cuba capai dan dia berjaya tetapi tidak sepenuhnya. Maksudnya nyanyian Farhan tidak rounded, kelihatan memaksa note tu untuk sampai.
“Saya sejenis yang mencari kesedapan. Jadi untuk lagu minggu lalu itu saya tak dapat kesedapan tu.
“Jadi untuk minggu ini juga saya rasa jiwa Farhan penat. Saya dapat rasa jiwa dia letih untuk tunjukkan kepada penonton. Penat tu bukan sebab dia tidak bagus.
“Kita nampak dia bersemangat, dia cuba untuk memberikan sepenuhnya tetapi tidak sampai. Dia cuba untuk bagi 100 peratus tetapi dia tidak berjaya lock 50 markah pun dengan saya.
“Itu maksud saya, less is more. Mungkin untuk Farhan, berikan lebih persembahan yang minimalistik,” jelasnya.
PENJELASAN IMUNITI - X
Bercakap mengenai Imuniti-X pula, Aina memberitahu keputusan yang diberikan itu atas persetujuan bersama juri, Ajai dan juga Datuk Seri Rossa.
“Imuniti-X bukanlah keputusan saya seorang sahaja. Sebenarnya Rossa juga ada memilih. Jadi saya berbincang dengan Ajai, kami bertanyakan pada Rossa dan semuanya memberikan jawapan yang sama. Malam ini adalah giliran Farhan.
“Tidak ada benda yang personal dengan dia. Saya harap dia tidak ada fikir yang bukan-bukan. Hanya DM saya dan bercakap dengan saya.
“Sekali lagi saya tegaskan tiada benda yang personal cuma saya tak dapat rasakan persembahan daripada dia seperti mana saya menikmatinya di minggu kedua.
“Saya minta maaf Farhan tetapi cari sedapnya di mana, fahami isi hati awak, apa yang awak ingin nyanyikan dan kepada siapa ingin disampaikan nyanyiannya. Itu perkara paling penting.
“Cari subjek untuk awak menyanyi. Jika awak menyanyikan lagu untuk saya, jadi pandang saya dan menyanyi,” tegasnya.
Terdahulu selepas Isaac Voo tersingkir menerusi Imuniti-X di minggu kedua, kini Farhan Shah juga menerima nasib yang sama.
Farhan diumumkan sebagai bintang keempat tersingkir di konsert Big Stage minggu keenam sekali gus menyelamatkan Dem Lepak Boyz yang sepatutnya tersingkir.
Bintang dari Singapura itu menyampaikan lagu Fighter nyanyian asal oleh Christina Aguilera nampaknya gagal menambat hati juri untuk terus bertanding di pentas Big Stage.
Terdahulu, Isaac Voo, Naufal Azrin dan Meer Nash merupakan tiga bintang yang tersingkir di konsert Big Stage 5.
Dihoskan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose, Big Stage 5 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam selama 10 minggu setiap Ahad, 9 malam di Astro Ria (saluran 104).
Untuk pilihan yang lebih fleksibel, Big Stage 5 juga boleh distrim di aplikasi Astro Go.
Big Stage 5 juga turut menampilkan Aina Abdul dan Ajai sebagai juri tetap, manakala juri jemputan minggu ini adalah Datuk Seri Rossa.
Sepanjang penganjuran, Big Stage telah menobatkan empat juara iaitu Sarah Suhairi (2018), bintang Korea Selatan, Hanbyul (2019), Azzam Sham (2020) dan terbaharu, Elica Paujin (2022). -- Gempak