Big Stage 2022: Tiada penyingkiran, semua peserta mara ke minggu seterusnya

Asyraf Roslan
Februari 7, 2022 11:03 MYT
Ketiga-tiga peserta itu berada di tangga tiga terbawah apabila mendapat markah paling rendah berdasarkan persembahan mereka untuk minggu ini. -Foto Astro/Azrul Rafie
SYAFIQ Abdilah, Megat Rahim dan Iqbal Zulkefli berjaya meneruskan langkah mereka di pentas Big Stage apabila diumumkan tiada penyingkiran untuk minggu pertama.
Ketiga-tiga peserta itu berada di tangga tiga terbawah apabila mendapat markah paling rendah berdasarkan persembahan mereka untuk minggu ini.
Namun, hanya Megat Rahim sahaja yang tidak dinilai oleh juri pada malam tersebut kerana tidak membuat sebarang persembahan atas faktor kesihatan.
Manakala persembahan memukau daripada Aisyah Retno menerusi lagu "Teman" nyanyian asal Iman Troye berjaya meletakkan dia di tempat pertama dengan markah yang cukup menyakinkan iaitu 84.40%.
Daniel Chuer yang menyanyikan lagu "Belum Siap Kehilangan" nyanyian asal Steven Pasaribu pula mengikuti rapat keputusan Aisyah apabila mendapat 71% dan diikuti oleh Yazmin Aziz (65.8%) yang menyanyikan lagu "Sakit" nyanyian asal Yonny Boi.
Persembahan peserta untuk minggu pertama diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza serta ditemani tiga juri jemputan iaitu Datuk Seri Vida (Presiden Netizen), Mas Idayu (Juri Pedas) dan Juara Gegar Vaganza Musim ke-8, Alif Aziz selaku juri juara.
Juara ‘Big Stage 2022’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu bersiaran secara langsung dari Pusat Kovensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
#Big Stage 2022 #Dominasi BBNU #Datuk Seri Vida #Siti Nurhaliza
;