Big Stage 2022: "Saya akan buktikan boleh nyanyi lagu Melayu" - Yazmin Aziz
Asyraf Roslan
Mac 26, 2022 15:48 MYT
Mac 26, 2022 15:48 MYT
PUTRAJAYA: Meskipun perjalanannya di Big Stage 2022 agak goyah pada permulaanya, namun itu tidak mengentikan semangatnya untuk berikan yang terbaik minggu demi minggu.
Dalam masa sama, Yazmin Aziz, 20, tidak henti-henti memanjatkan kesyukurn kerana dia mampu bangkit dalam pertandingan yang pernah memberi gelaran juara kepada Sarah Suhairi, Han Byul dan Azzam Sham.
Menurut Yazmin, setiap komen daripada juri seperti lari tempo dan tidak boleh menyanyikan lagu bahasa Melayu dengan baik akan dia cuba perbaiki lebih-lebih lagi pada minggu akhir ini.
"Saya akan buktikan kepada mereka yang saya boleh bawa lagu Melayu dengan baik. Sebelum ini juga ada komen pasal tempo, sebelum-sebelum ini sebenarnya saya ada sedikit masalah teknikal, kalau ikutkan saya dah sampai buat pemeriksaan telinga tapi rupa-rupanya saya menghadapi masalah teknikal iaitu pada earpiece saya.
"Saya janji kepada semua peminat yang saya akan lakukan yang terbaik buat mereka untuk konsert akhir ini nanti," katanya kepada Astro AWANI.
Yazmin akan bersaing bersama Aisha Retno, Danial Chuer, Elica Paujin dan Tegar Septian untuk merebut gelaran juara untuk Big Stage edisi keempat.
Untuk pentas akhir Big Stage malam esok, setiap peserta diberikan dua tugasan iaitu Ultimantum Solo dan Ultimantum Duet bersama dengan penyanyi pilihan peserta.
Juara Big Stage terbitan Astro bakal bawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Untuk pemenang tempat keempat, kelima dan keenam juga tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing bakal membawa pulang RM15,000, RM10,000 dan RM5,000 beserta trofi.
Big Stage 2022 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya dan dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry AlHadad.