Big Stage 2022: Kurang undian peminat, perjalanan Lia Aziz tamat di minggu ketiga
Asyraf Roslan
Februari 21, 2022 10:09 MYT
Februari 21, 2022 10:09 MYT
PUTRAJAYA: Perjalanan Lia Aziz di atas pentas Big Stage terhenti setakat minggu ketiga apabila diumumkan tersingkir selepas mendapat markah terendah.
Lia yang membawakan lagu "Kisah Hati" nyanyian asal Datin Alyah untuk minggu bertemakan “Playlist 2000” telah mendapat markah sebanyak 55 % secara keseluruhan daripada juri tetap dan jemputan.
Meskipun secara keseluruhan markah Lia melebihi markah Megat Rahim (39%) dan Sofiaa Marieyla (44.2%), namun dia tewas kepada undian peminat.
Megat Rahim dan Sofiaa Meryella juga berada di tangga tiga terbawah, masing-masing dengan markah 39% dan 44.2%.
Manakala Aisyah Retno yang menyanyikan lagu "Kesetian" nyanyian asal Allahyarham Siti Sarah kembali menduduki tempat pertama dengan markah tertinggi keseluruhan iaitu 82%.
Sementara itu, Elica Paujin dan Syafiq Abdilah menghampiri kedudukan Aisyah dengan markah 80.40% diikuti Syafiq (75%)
Untuk minggu ketiga, kesemua peserta membawakan lagu-lagu yang bertema “Playlist 2000” dan diadili oleh dua juri tetap iaitu Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza serta ditemani tiga juri jemputan iaitu Datuk Seri Vida (Presiden Netizen), Mas Idayu (Juri Pedas), dan Juara Big Stage Musim ke-2, Han Byul selaku juri juara.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.