Big Stage 2022: Elica Paujin akui masih tidak percaya raih gelaran juara
Asyraf Roslan
Mac 28, 2022 11:31 MYT
Mac 28, 2022 11:31 MYT
PUTRAJAYA: Elica Paujin berjaya menghentikan kemarau kekalahan peserta wanita selepas hampir dua edisi Big Stage menobatkan peserta lelaki sebagai juara.
Anak jati Tambunan,Sabah itu mendapat markah tertinggi daripada juri dan penonton selepas menyanyikan lagu Cinta nyanyian asal Marsha Milan dan Believer bersama Hael Husaini pada malam Ahad.
Kemenangannya itu sekali gus menafikan kedudukan pesaing terdekatnya Yazmin Aziz, Tegar Septian, Danial Chuer dan Aisyah Retno untuk bergelar juara selepas lapan minggu mereka bersaing.
Menurutnya, dia masih tidak mempercayai bahawa dia berhasil membawa balik kemenangan itu memandangkan peserta lain memberi saingan kuat kepadanya.
“Sebenarnya saya masih terkejut lagi... tapi rezeki berpihak kepada saya.
“Terima kasih sangat-sangat bagi mereka yang sudah menyokong saya dari mula sampai minggu akhir, dan tidak lupa untuk pihak Astro dan juga team saya yang banyak membantu dari setiap sudut, saya sangat bersyukur,” katanya dalam sidang media pertandingan akhir Big Stage.
Dalam masa sama, Elica juga tidak mahu memikirkan jika ada pihak cuba mempertikai kemenangannya dan cuba melaga-lagakannya bersama peserta lain.
“Saya tak nak terlalu fikir sangat benda itu, sebab mulut orang kita susah nak tutup,”
“Bagi saya peminat-peminat tidak perlu bergaduh sebab kami di sini semua kawan jadi tidak perlu bergaduh dan kemenangan ini juga hasil daripada kata-kata daripada netizen sebab saya nak buktikan kepada mereka yang saya boleh lakukan,” tambahnya.
Hasil kemenangan itu, Elica Paujin, 23, membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Pada edisi keempat program realiti itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai menduduki kerusi juri tetap dan Datuk Seri Vida bertindak sebagai Presiden Netizen.
Juri juara pada minggu ini adalah Aliff Aziz manakala juri pedas, Elly Mazlein serta juri jemputan, Aina Abdul.