Big Stage 2022: Danial Chuer tidak berkecil hati tewas kepada Elica Paujin
Asyraf Roslan
Mac 28, 2022 11:45 MYT
Mac 28, 2022 11:45 MYT
PUTRAJAYA: Perjalanan yang dicipta dalam industri seni suara sudah hampir 10 tahun dan baginya kalah menang itu sememangnya adat pertandingan.
Meskipun sudah banyak memasuki pertandingan realiti, Danial Chuer tidak pernah berkecil hati apabila tidak dinobatkan sebagai juara termasuk di gelanggang Big Stage 2022.
Menurutnya, berjaya mara ke pentas akhir bersama peserta lain sudah satu kemenangan bagi dirinya.
"Saya tidak pernah langsung terdetik dalam diri ini kenapa aku sudah masuk banyak kali (pertandingan) tapi tidak pernah menang... kalau anda perasan atas pentas tadi lepas mereka umum saya sebagai naib juara, saya menangis sebab bila fikir balik perjalanan saya sangat jauh,
“Kerjaya seni saya bermula pada umur 12 tahun, sudah banyak masuk pertandingan. Berada di pentas Big Stage 2022 juga satu pencapaian yang besar bagi sebab ini memang termasuk dalam keinginan saya untuk berada di sini,” katanya.
Anak jati Tawau, Sabah ini mengakui dia sangat berpuas hati dengan prestasinya di pentas Big Stage 2022 sehingga berjaya merangkul tempat kedua dalam program realiti itu.
Danial yang menyanyikan lagu Hilang Naluri nyanyian asal Once dan Still Love You bersama Shila Amzah berhasil membawa pulang hadiah bernilai RM50,000 berserta trofi sumbangan Astro.
Pada edisi keempat program realiti itu, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Ajai menduduki kerusi juri tetap dan Datuk Seri Vida bertindak sebagai Presiden Netizen.
Juri juara pada minggu ini adalah Aliff Aziz manakala juri pedas, Elly Mazlein serta juri jemputan, Aina Abdul.