Big Stage 2022: Danial Chuer tetap akan menjadi diri sendiri, tetapi...
Asyraf Roslan
Februari 28, 2022 22:01 MYT
Februari 28, 2022 22:01 MYT
KUALA LUMPUR: Komen juri tetap Big Stage 2022, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang meminta agar Danial Chuer tampil lebih maskulin mengundang pelbagai reaksi peminat.
Namun Danial atau nama sebenarnya Danial Chuer Hamasiah@Samsudin, 21, tidak cepat melatah dengan komen tersebut, malah mengambil komen yang diberikan kepadanya sebagai satu pembakar semangat.
“Secara jujurnya, ini bukan pertama kali Danial dapat komen macam ini daripada mana-mana persembahan atau mana-mana pertandingan yang Danial sertai tapi sebagai seorang anak seni saya terima dengan hati yang terbuka.
“Saya kena terima dan ambil segala komen dengan cara yang baik, sebab apa saya sebagai penghibur kadang-kadang saya terleka apabila buat persembahan diatas pentas, jadi komen-komen macam ini adalah satu peringatan yang baik kepada saya lebih-lebih lagi apabila membuat persembahan secara langsung,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurut anak kelahiran Tawau, Sabah ini dia tetap akan menjadi dirinya sendiri apabila membuat persembahan di atas pentas namun apa yang telah dikomen oleh para juri adalah satu peringatan buatnya bagi menjadi seorang anak seni yang lebih matang pada masa akan datang.
Pada masa sama, Danial menyatakan beliau sangat berpuas hati dengan persembahannya menerusi lagu Gila nyanyian asal Kaka, Noki dan Loca B untuk minggu yang bertemakan “Go Viral”.
Menurutnya, pihak produksi memberinya satu lagi peluang untuk membawakan lagu tersebut kerana pada minggu kedua dia tidak dapat membuat persembahan atas faktor kesihatan.
Selain Danial antara peserta lain yang akan meneruskan perjuangan di atas pentas Big Stage minggu depan bersama Aisha Retno, Yazmin Aziz, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Elica Paujin, dan Syafiq Abdilah.
Minggu depan kesemua peserta yang tinggal akan membawakan lagu-lagu nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.