Big Stage 2022 buka gelanggang malam ini, khabarnya ada tambahan peserta...

Asyraf Roslan
Februari 6, 2022 11:30 MYT
Difahamkan, identiti peserta ke-12 itu hanya akan didedahkan pada konsert sulung tersebut pada pukul 9 malam ini. - Gambar Astro AWANI/ AZRUL RAFIE
FORMULA yang menjadikan sesebuah program realiti terbitan stesen-stesen televisyen itu berjaya mendapat perhatian penonton ialah pada elemen kejutan yang ditampilkan.
Kejutan dan kelainan lazimnya akan membuatkan pencinta hiburan duduk melekat depan TV setiap minggu untuk mengikuti perkembangan sesebuah program realiti itu.
Demikian juga dengan pelbagai program realiti hiburan terbitan Astro yang tidak pernah lekang dengan kejutan dan kelainan.
Yang terbaharu, program Big Stage 2022 yang memulakan siaran sulungnya mala mini secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) awal-awal lagi sudah menjanjikan kejutan.
Seperti yang diumumkan stesen televisyen satelit pertama negara itu, seramai 11 bintang muda telah disenarai pendek untuk menyahut cabaran di Big Stage 2022.
Daripada 11 peserta itu, sembilan daripadanya ialah bakat tempatan ialah Aisha Retno, Elica Paujin, Tuah Adzmi, Lia Aziz, Yazmin Aziz, Sofiaa Marieylla, Megat Rahim, Ajoi Zainal dan Danial Chuer.
Sementara dua lagu peserta diterbangkan khas dari Brunei iaitu Syafiq Abdilah serta Tegar Septian dari Indonesia.
BACA: Ajoi Zainal, Aisha Retno dan 'Jerung Merah' antara peserta Big Stage musim keempat
Bagaimanapun, Astro AWANI difahamkan Big Stage 2022 bakal menambah penyertaan seorang lagi bakat menjadikan kesemua peserta yang akan mencabar diri masing-masing ialah seramai 12 orang.
Beberapa petunjuk atau bayangan kemasukan seorang lagi bintang sudah kelihatan.
Difahamkan juga, identiti peserta ke-12 itu hanya akan didedahkan pada konsert sulung tersebut pada pukul 9 malam ini.
Tidak terhenti di situ sahaja, kejutan Big Stage 2022 yang seterusnya adalah Presiden Netizen dan Juri Pedas yang juga akan diperkenalkan secara rasmi semasa konsert.
Big Stage 2022 menampilkan dua juri tetap iaitu komposer terkenal, Ajai dan penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang kembali untuk edisi keempat selepas setahun berehat daripada program nyanyian ini.
Program yang akan berlangsung selama selama lapan minggu pada setiap Ahad itu masih mengekalkan Alif Satar dan Sherry Al-Hadad sebagai pengacara.
Juara Big Stage 2022 akan membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro, manakala, pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Pada musim-musim sebelum ini, Big Stage pernah mentabalkan Sarah Suhairi, Han Byul dan Azzam Sham sebagai antara juara.
#Big Stage 2022 #Dominasi BBNU #Sofiaa Marieylla #Ajoi Zainal
;