Big Stage 2022: Baru bermula, Iqbal Zulkefli dah nak tarik diri?
Asyraf Roslan
Februari 7, 2022 12:28 MYT
Februari 7, 2022 12:28 MYT
PUTRAJAYA: Kemunculan usahawan dan penyanyi, Iqbal Zulkefli di gelanggang Big Stage 2022 menghentikan teka-teki siapa yang akan mengisi kerusi peserta ke-12 untuk edisi kali ini.
Kemunculannya di atas pentas pada minggu pertama tersebut merupakan satu kejutan yang tidak disangka-sangka malah mendapat pelbagai respon daripada warganet.
Iqbal atau nama sebenarnya Ahmad Iqbal Zulkefli telah menyanyikan lagu Broery Marantika, Biar Bulan Bicara Sendiri, pada konsert pengenalan pada Ahad.
Namun selesai sahaja persembahan, terdengar pula berita bahawa anak jati Kelantan ini ingin menarik diri daripada pertandingan tersebut.
Menurut pelantun lagu Hujan ini, dia rasa berbelah bahagi sama ada perlu meneruskan perjuangannya dalam Big Stage atau tidak.
“ Saya sebenarnya masih berbelah bahagi sama ada saya nak teruskan ataupun saya nak hentikan, cuma saya kena tanya pendapat Astro sama ada saya perlu teruskan atau saya hentikan perjuangan saya disini sebab rasa tak layak,” katanya selepas ditemui di konsert Big Stage minggu pertama yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Jika mereka kata isu penarikan diri ini untuk saya mencari populariti, secara jujurnya Big Stage bukanlah tempatnya, ini bukan kuasa saya kerana saya tidak membuat sebarang penajaan dan tidak ada kepentingan di sini,” tambahnya.
Sementara itu, menjawab persoalan mengenai ura-ura penarikan diri Iqbal daripada Big Stage Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata pihak Astro tidak akan menghalang jika keputusan itu sudah dibuat.
“Secara jujurnya, pihak Astro tidak akan menghalang bukan sahaja Iqbal malah mana-mana pihak untuk menarik diri sekiranya mereka mempunyai alasan yang munasabah untuk melakukan perkara tersebut,” katanya kepada Astro AWANI.
Iqbal masih berjaya meneruskan perjuangannya di atas pentas big stage 2022 apabila diumumkan tiada penyingkiran yang dilakukan untuk minggu pertama.