Big Stage 2022: 'Ajoi Zainal alami tekanan darah, degupan jantung tinggi'

Asyraf Roslan
Februari 28, 2022 09:10 MYT
Ajoi dilapor mengalami tekanan darah dan kadar degupan jantung yang tinggi selepas kelihatan kurang sihat setelah selesai melakukan persembahan. -Astro/Azrul Rafie
“PASUKAN perubatan memaklumkan bahawa Ajoi Zainal mengalami tekanan darah dan kadar degupan jantung yang tinggi.”
Itu respons Penerbit Penyelaras Big Stage 2022, Mohd Noor Firdaus Mahadi ketika ditanyakan mengenai situasi peserta Big Stage, Ajoi Zainal.
Ajoi yang menyanyikan lagu "Jangan Khianati Aku" nyanyian asal Azlan & the Typewriter kelihatan seperti kurang sihat selepas selesai melakukan persembahan pada minggu tersebut.
Firdaus turut memaklumkan Ajoi Zainal berada dalam keadaan baik pada sebelah petang sebelum pentas Big Stage dibuka.
Untuk memastikan keselamatan semua pihak, Ajoi telah melakukan ujian kendiri COVID-19 dan keputusannya adalah negatif.
Tambah Firdaus, untuk setiap peserta yang tidak sihat mereka sememangnya tidak akan dibenarkan untuk menghadiri pertandingan nyanyian tersebut.
“Jika mereka tidak sihat, demam, sakit tekak dan sebagainya, memang kita tidak akan bagi mereka untuk menghadiri ke pentas.
"Malah sebelum kesemua peserta dan pengurus mereka ingin masuk ke dalam (lokasi penggambaran), mereka perlu melakukan ujian kendiri,” katanya pada sidang media Big Stage minggu keempat.
Pada masa sama, Sofia Marieylla yang sepatutnya menyanyikan lagu "Gadis dan Bunga" nyanyian asal Rahimah Rahim dikecualikan daripada pertandingan selepas memaklumkan tidak sihat untuk bertanding pada minggu tersebut.
Minggu hadapan, kesemua peserta yang kekal akan membawakan lagu-lagu daripada penyanyi tersohor Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Elly Mazlein ini bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.
#Big Stage 2022 #BBNU #Ajoi Zainal #Sofia Marieylla
;