Big Stage 2022: Ajai, Siti Nurhaliza sebak terkenangkan arwah Siti Sarah
Asyraf Roslan
Februari 21, 2022 10:22 MYT
Februari 21, 2022 10:22 MYT
MESKIPUN sudah beberapa bulan Allahyarham Siti Sarah meninggalkan kita, namun kehadirannya di dalam dunia seni masih segar dalam ingatan.
Kehilangannya nyata masih dirasai sehinggakan penyanyi dan komposer Ajai tidak dapat menahan sebak apabila mendengar peserta Big Stage Aisha Retno menyanyikan lagu "Kesetiaan" yang merupakan salah satu lagu ciptaannya.
Menurut Ajai yang merupakan juri tetap Big Stage 2022, persembahan Aisha pada malam itu sangat baik sama seperti penyampaian Allahyarham Siti Sarah.
“Lagu itu bagi vibe flashback banyak benda pada arwah dan tidak boleh dibandingkan dengan nyanyian arwah.
"Cuma kita tetap sokong generasi baharu yang ingin menyanyikan lagu tersebut dengan cara yang tersendiri.
“Aisha berjaya menyampaikan lagu itu dengan baik sama seperti arwah.
"Tapi kalau nak cakap pasal sebak itu, kami memang tak boleh kawal sebab kami rapat dan hari ini (Ahad) ramai yang mendoakan untuk dia,” katanya semasa sidang media Big Stage 2022 minggu ketiga.
Pada masa sama, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin juga mengakui tidak dapat menahan sebak semasa mendengar Aisha menyampaikan lagu tersebut kerana mengingatkannya pada arwah.
Lebih-lebih lagi apabila beliau memikirkan personaliti arwah yang sangat baik serta momen arwah yang mengandung pada saat pandemik menjadikan dia lebih sedih.
“Arwah seorang yang sangat baik, kerja keras, rendah diri.
"Jadi bila kita dengar lagu itu (Kesetiaan) secara automatik kita macam dengar suara dia, jadi tak boleh fikir dah dengar suara orang lain.
“Tapi dalam penjurian itu, kita faham yang kita menilai penyanyi berbakat besar yang akan meneruskan generasi saya.
"Itu sahajalah yang membuatkan saya sebak,” kata Siti Nurhaliza.
Allahyarham Siti Sarah Raissuddin menghembuskan nafas terakhir pada 9 Ogos 2021.
Arwah meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19.