Big Stage 2022: Aisha Retno bersedia untuk tampil dengan sisi lain
Asyraf Roslan
Januari 20, 2022 08:42 MYT
Januari 20, 2022 08:42 MYT
KUALA LUMPUR: “Menjadi cabaran dan kelebihan”
Itu ayat yang diungkapkan oleh peserta Big Stage 2022, Aisha Retno apabila ditanya mengenai pengalamannya menyertai satu pertandingan nyanyian dan seterusnya dinobatkan sebagai juara.
Menurutnya, setiap pertandingan mempunyai cabaran dan pengalaman yang berbeza jadi dia akan cuba lakukan yang terbaik dan gunakan segala ilmu terdahulu sebagai senjata untuk bersaing dengan peserta-peserta lain.
“Bagi Aisha ia boleh jadi dua-dua (tekanan dan kelebihan), tapi Aisha akan pastikan Aisha guna segala ilmu yang sudah Aisha belajar daripada pertandingan terdahulu untuk menjadi senjata untuk berentap di pentas Big Stage,” katanya kepada Astro AWANI.
Pada masa sama, pelantun lagu W.H.U.T ini juga tidak menjangkkan bahawa percubaan pertamanya untuk menyertai Big Stage berjaya.
Teruja untuk memulakan cabaran pertama pada 6 Februari ini, Aisha juga menyatakan bahawa penyertaannya dalam Big Stage memberi peluang buat dirinya untuk keluar daripada zon selesa dan menampilkan sisi lain dirinya sepanjang pertandingan.
Juara ‘Big Stage 2022’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100,000 beserta trofi sumbangan Astro. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing pula akan memenangi RM50,000 dan RM25,000 beserta trofi.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu akan bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 6 Februari 2022.