Big Stage 2022: Ada yang tidak anggap ini satu pertandingan serius - Han Byul
Asyraf Roslan
Februari 21, 2022 11:38 MYT
Februari 21, 2022 11:38 MYT
PUTRAJAYA: Juara Big Stage musim kedua, Han Byul menyatakan ada sesetengah peserta masih tidak menganggap pertandingan ini sebagai satu pertandingan yang serius.
Ini kerana masih ada peserta yang dilihat masih menyimpan potensi sebenar mereka untuk pentas Big Stage yang kini sudah memasuki edisi keempat.
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Luka dan Bahagia itu, semasa dia berada di pertandingan tersebut dia berusaha untuk memberikan yang terbaik sepanjang minggu.
“Saya rasa masih ada peserta yang tidak serius didalam pertandingan ini, kerana mereka dilihat tidak memberi segala apa yang mereka ada.
“Saya pernah berada di pentas sama, jadi saya tahu apa yang perlu dilakukan meskipun perjalanan saya agak sukar (perlu menyanyi lagu berbahasa melayu) namun saya cuba dan pertandingan ini mengubah hidup saya apabila saya bergelar sebagai juara,” katanya semasa sidang media Big Stage minggu ketiga pada Ahad.
Tambahnya, setiap peserta harus memberi persembahan yang konsisten setiap minggu bagi menarik perhatian rakyat Malaysia untuk menyokong mereka bukan sahaja di dalam Big Stage malah selepas mereka melangkah keluar nanti.
Han Byul membuat kemunculan sebagai Juri Juara bagi menemani Ajai dan Datuk Seri Siti Nurhaliza selaku juri tetap disamping Mas Idayu (Juri Pedas) dan Datuk Seri Vida ( Presiden Netizen ).
Minggu ketiga peminat harus menyaksikan Lia Aziz mengucapkan selamat tinggal kepada pentas Big Stage selepas Iqbal Zulkefli.
Program yang dikendalikan oleh Alif Satar dan Sherry Al-Hadad itu bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama lapan minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam dan dipancarkan terus menerusi saluran Astro Ria dan Astro Ria HD.