Big Stage 2020: 'Sayang Kak Sherry' - Usop minta maaf tak sengaja 'body shame' pengacara
Asyraf Roslan
Oktober 5, 2020 09:00 MYT
Oktober 5, 2020 09:00 MYT
DALAM kita menyaksikan persembahan bertenaga dan menantikan keputusan siapa bakal bergelar juara malam tadi, berlaku gurauan tidak diingini dalam program hiburan Big Stage.
Gurauan mengenai tubuh badan, membuatkan peserta Big Stage 2020 Usop dikecam hebat netizen kerana mempermainkan bentuk tubuh badan pengacara Sherry Alhadad.
Namun tidak menunggu lama, penyanyi yang berasal dari Kulim, Kedah ini telah melakukan permohonan maaf secara langsung semasa konsert itu dijalankan.
Menurutnya, dia sedar akan kesilapan itu dan mengambil keputusan untuk memohon maaf secara langsung.
"Sebab itu saya minta maaf, sebab saya melawak kadang-kadang tak sedar.
"Lagipun rancangan ini disiarkan secara langsung. Saya tahu saya akan kena dengan mereka, jadi lebih baik saya minta maaf secara berhadapan juga," katanya semasa ditemui Astro AWANI.
Dia juga menyatakan bahawa jika diikutkan dia juga antara mangsa body shaming, namun tidak pernah ambil peduli dengan perkara tersebut.
"Kalau nak sentuh pasal body shaming, ramai juga yang pernah body shame saya, tapi saya tidak ambil hati dengan perkara tersebut.
"Jadi sekali lagi saya minta maaf dengan Sherry," tambahnya.
Pada masa sama, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor menyatakan bahawa dia reda dengan peluang kedua yang diperolehinya itu yang meletakkan dia di tempat kedua sekali lagi.
Baginya, dia sudah dapat merasakan bahawa Azzam Sham akan menjuarai program yang melahirkan bintang seperti Sissy Iman, Wani Kayrie, Irfan Harris, Han Byul, dan Sarah Suhairi.
Usop mempertaruhkan lagu Arjuna dan Peluang Kedua nyanyian Nabila Razali di pentas akhir Big Stage 2020.
#Usop
#Big Stage
#Dominasi BBNU
#naib juara
#body shaming
#Sherry Alhadad
#bentuk tubuh badan
#Azzam Sham
#Siti Nurhaliza