Big Stage 2019: "Tak sangka seramai itu orang tidak suka saya" - Chaleeda tertekan
Gempak
September 17, 2019 12:36 MYT
September 17, 2019 12:36 MYT
PENYANYI kelahiran Thailand, Chaleeda Gilbert akui menerima keputusan penyingkirannya dengan hati terbuka pada malam minggu kelima program Big Stage 2019.
Kata Chaleeda, dia terharu dengan sokongan yang tidak pernah putus daripada peminatnya.
"Sejujurnya, saya berasa terharu atas sokongan peminat selama beberapa minggu ini. Mungkin kali ini nasib tidak menyebelahi diri saya.
"Setiap minggu, peminat berharap agar saya memberikan persembahan yang lebih baik serta ada peningkatan dalam nyanyian.
"Saya bersyukur walaupun pada awalnya saya menjangkakan akan tersingkir pada minggu pertama tetapi saya masih di sini atas sokongan mereka.
"Saya terima dengan hati terbuka memandangkan rakan lain yang bertanding memang selayaknya meneruskan perjuangan.
“Bagi saya Azdrin memang layak untuk meneruskan perjuangan di pentas Big Stage.
"Saya bangga dengan apa yang telah dilakukannya termasuklah rakan lain yang sudah saya anggap seperti keluarga sendiri," katanya kepada Gempak.
Chaleeda ditemu bual selepas tamatnya konsert kelima Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Tambah Chaleeda, dia mendedahkan dirinya tidak pernah terlepas untuk membaca komen tentang persembahannya setiap hari di laman sosial.
"Saya mula membaca komen-komen daripada peminat di laman Twitter mulai minggu kedua. Saya tidak tahu, tetapi secara tiba-tiba saya boleh memahami Bahasa Melayu.
"Saya berasa tertekan selepas membaca komen tentang diri saya. Saya tak sangka seramai itu orang yang tidak menyukai akan persembahan saya.
"Sepanjang hidup saya, ini adalah tekanan paling hebat yang pernah dirasai.
"Walaubagaimanapun, secara jujurnya saya merasakan itu bukan komen negatif. Saya tahu bagaimana nyanyian saya dan mereka ada hak untuk menyuarakannya," tambahnya lagi.
Sebanyak 10 peserta yang berasal dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan dan Thailand berentap di pentas Big Stage 2019.
Syada Amzah dan Chaleeda Gilbert telah diumumkan tersingkir untuk minggu kelima dan 8 peserta melangkah ke minggu keenam.
Pada minggu hadapan, kesemua peserta bakal mempersembahkan dua persembahan iaitu lagu pilihan daripada juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juga 'Battle Round'.
Yusry Abdul Halim diundang sebagai juri jemputan bagi bergandingan bersama dua juri tetap iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad Big Stage 2019 dibawakan kepada anda oleh Vivo dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Rancangan ini ditayangkan setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (104) dan Ria HD (123).
Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!
#Big Stage
#Big Stage 2019
#Chaleeda Gilbert
#konsert
#Malaysia
#Siti Nurhaliza
#Tersingkir
#Thailand