Big Stage 2019: "Buat apa kalau kita buka peluang kepada negara lain, tetapi..." - Siti Nurhaliza

Gempak
Oktober 7, 2019 14:22 MYT
Pelantun lagu Anta Permana itu akui lagu yang dinyanyikan Han-Byul pada malam itu bukan kekuatannya namun pujian harus diberikan, melihat kepada kesungguhan yang telah Han-Byul dipamerkan.
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza tampil menjelaskan tentang isu kemenangan penyanyi yang berasal dari Korea, Han-Byul di pentas Big Stage 2019 semalam.
Jelas Siti selaku juri tetap, dalam pertandingan wujud persaingan dan ia akan memberi cabaran kepada peserta lain untuk bersaing.
"Bagi saya muzik ini universal, kita mempertaruhkan bakat serta boleh berkongsi.
"Buat apa kalau kita buka peluang kepada negara lain tetapi tetap ingin menangkan peserta daripada negara sendiri.
"Itu tidak ada persaingan namanya. Persaingan yang sihat adalah apabila kita menilainya dengan telus.
"Ia juga boleh menjadi salah satu cabaran dan semangat bagi artis-artis tanah air kita untuk belajar," katanya kepada Gempak.
Siti ditemu bual selepas tamatnya konsert akhir Big Stage 2019 bertempat di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor pada Ahad.
Pelantun lagu Anta Permana itu akui lagu yang dinyanyikan Han-Byul pada malam itu bukan kekuatannya namun pujian harus diberikan, melihat kepada kesungguhan yang telah Han-Byul dipamerkan.
"Saya memilih untuk memberi markah yang tinggi bagi persembahan pertama Han-Byul kerana setiap minggu macam-macam sudah dilakukannya.
"Dia sudah menyanyikan lagu balada, rock dengan cara yang betul dan bagus bagi saya.
"Cuma malam ini lagu tersebut bukan kekuatannya namun saya tetap bangga dengan kesungguhan yang ditunjukkan.
"Dia sudah membuktikan dia seorang yang sangat kreatif dalam menjiwai setiap lagu," tambahnya lagi.
Penyanyi berasal dari Korea Selatan, Han Byul dinobatkan sebagai juara Big Stage 2019.
BACA: Penyanyi Korea, Han Byul Juara Big Stage 2019!
Han Byul telah menewaskan empat peserta lain iaitu Neeta, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata yang turut bersaing di peringkat akhir program tersebut.
Di pentas akhir tersebut, Han Byul membawakan lagu Lose Yourself di segmen Cover Final serta menyanyikan lagu single baharu berjudul Luka & Bahagia.
Han Byul berjaya merangkul wang tunai RM100,000 bersama sebuah kereta Perodua Axia Style, sebuah telefon pintar VIVO V17 Pro beserta trofi sumbangan Astro dan plak penghargaan VIVO BBNU Of The Week.
Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Cakra Khan berada di kerusi juri tetap manakala Misha Omar menyertai mereka berdua sebagai juri jemputan.
Dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Alhadad, Big Stage 2019 dibawakan kepada anda oleh VIVO dan Perodua selaku penaja utama dan Farm Fresh selaku penaja bersama.
Personaliti radio ERA, Radin bersama alumni Big Stage musim pertama, Sissy Imann mengacarakan Big Stage Live Plus yang disiarkan serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.
Layari laman web bigstage.gempak.com untuk segala informasi mengenai program ini!
#Astro #Big Stage #Han-Byul #juri tetap #konsert #Siti Nurhaliza
;