Biasiswa Astro realisasikan impian 'budak kampung' ke layar perak
Mariah Ahmad
September 25, 2015 09:00 MYT
September 25, 2015 09:00 MYT
JANGAN kejut harimau yang sedang tidur, salah masuk jalan mati susah untuk hidup, jangan korbankan harga diri kerana ego, salah nanti kena tangkap dengan polis evo.
Tidak mustahil lagu Evo nyanyian Joe Flizzow bersama SonaOne ini terngiang-ngiang dalam benak fikiran kita. Di Youtube sahaja hampir 900,000 pelayar telah mendengar lagu berentak up beat ini selepas muzik video ini dimuat naik bulan lalu. Itu kekuatan lagu tema filem Polis Evo.
Namun, kita juga tidak boleh menafikan jalan penceritaan filem ini, yang merupakan idea asal oleh tiga anak muda yang mendapat biasiswa daripada Astro iaitu Joel Soh (28), Kyle Goonting (27) , dan Anwari Ashraf Hahsim (26), sangat berkualiti dan sememangnya memenuhi citarasa penonton.
Nafas baru dari golongan muda ini seolah-olah mengembalikan keyakinan penonton terhadap mutu filem tempatan. Ikuti temu bual eksklusif Astro AWANI bersama tiga penulis skrip berbakat ini yang menceritakan detik-detik yang mereka perlu tempuhi sebelum mendapat peluang mensaksikan naskah mereka ditayangkan di layar perak.
Dari Terengganu ke Boston
Trio ini senada dan percaya segala halangan boleh ditempuhi dengan sikap dan pendirian yang tidak berputus asa bagi mengapai impian yang diimpikan selama ini.
Bagi Joel, yang juga bertindak sebagai penerbit filem Polis Evo ini berkata, pembelajaran mengenai perfileman suatu ketika dahulu sangat terhad di negeri asalnya iaitu di Terengganu.
"Jadi apa yang saya boleh buat pada ketika itu adalah dengan melakukan sesuatu yang ‘dekat’ dengan pembikinan filem contohnya menyertai kelab drama di sekolah.
"Jadi lepas SPM, realiti bermula. Saya cuba memohon pelbagai biasiswa namun kebanyakannya menjawab permohonan saya dengan memberi cadangan supaya saya memilih bidang lain untuk ditaja contohnya perubatan dan kejuruteraan. Tiada biasiswa yang mahu menaja pelajar yang mahu membikin filem.
"Namun, sejujurnya dalam hati saya, saya mahu merasai bagaimana industri pembikin filem di dunia luar. Dan di situlah berlaku satu keajaiban apabila secara tiba-tiba Astro menawarkan biasiswa dalam perfileman kepada mereka yang berminat. Selepas melalui beberapa ujian, saya bersyukur saya dapat melanjutkan pelajaran di Emerson College, Boston, Amerika Syarikat.
Joel Soh, menceritakan cabarannya untuk meneroka ilmu pembikinan filem di luar negara sebelum menerima biasiswa daripada Astro untuk melanjutkan di Emerson College, Boston, Amerika Syarikat.
Apabila 'budak kampung' Kulim jejak bandar London
Sementara itu, Anwari Ashraf berkata beliau pernah dimarahi oleh kaunselor sekolahnya kerana ingin menjadi pengarah filem.
"Saya masuk ke sekolah berasrama penuh yang agak dikenali sebagai tempat yang ‘melahirkan’ doktor dan jurutera. Jadi berada di tempat saya ini, saya pernah kena marah dengan kaunselor sekolah bila saya cakap saya mahu menjadi pengarah filem.
"Namun saya bersyukur, kaunselor saya tidak percaya saya namun ibu bapa saya percaya saya. Saya budak kampung, walaupun ibu bapa mempunyai pendapatan yang baik namun tidak mampu menampung pembelajaran filem di luar negara.
"Jadi Biasiswa Astro ini membuka ruang untuk membuat apa yang saya minati," jelas Anwari.
Penulis Skrip Polis Evo, Anwari Ashraf Hahsim menceritakan apabila pengalaman dirinya sebagai 'budak kampung' yang diberi peluang mendalami ilmu perfileman di Middlesex University di bawah tajaan biasiswa Astro.
Anwari yang berasal dari Kulim Kedah ini berkata beliau mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penyuntingan video.
"Dulu saya seperti Joel juga, tiada tempat yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal kami untuk menuntut ilmu perfileman, jadi saya hanya sekadar menyertai kelab teater.
"Pada masa yang sama juga, saya minat teknologi, jadi saya mula menyunting video. Dari situ saya dapati semua benda yang saya suka, drama, muzik, teknologi, semuanya berada dalam satu format iaitu, filem."
"Kebetulan selepas saya pulang daripada London, Joel (tengah) dan Kyle (kanan) juga pulang selepas itu daripada Australia dan Amerika Syarikat. Selepas itu kami menjadi Ali, Ah Meng dan Mutu di Astro Shaw," kata Anwari (kiri) dalam satu temu bual eksklusif bersama Astro AWANI.
Impian anak Banting, Selangor untuk menulis skrip filem
Bagi Kyle, beliau dari dahulu lagi memang menyimpan hasrat untuk menulis skrip filem. Beliau juga tidak sangka, kerana terpilih untuk menjadi penerima biasiswa Astro untuk menyambung ilmu perfileman di University of New South Wales, Sydney, Australia.
Kata Kyle, di Sydney sememangnya membuka matanya bagi memahami dunia perfileman Hollywood dan di negara-negara lain.
Penulis Skrip Polis Evo, Kyle Goonting yang berasal dari Banting, Selangor menceritakan bagaimana sekolah perfileman di University of New South Wales, Sydney, Australia membuka matanya mengenai dunia perfileman antarabangsa.
Cabaran trio ini tidak berhenti selepas mereka menamatkan pelajaran mereka dari universiti masing-masing, memandangkan mereka perlu menyesuaikan ilmu perfileman yang dipelajari, dengan pemasaran industri filem tempatan yang semakin tidak menentu ketika ini.
Jelas Joel, sebagai pendatang baru kesabaran yang tinggi amatlah diperlukan bagi memahami status quo industri filem tempatan.
"Pembelajaran di luar negara adalah lebih kepada memahami dunia perfileman. Ia seakan-akan membuat kita fikir, di mana kita mahu letakkan diri kita dalam dunia perfileman ini.
"Bagi Polis Evo, kita berasakan filem aksi di negara ini hanya dilakukan oleh Syafiq dan Syamsul Yusof. Kami sangat menghormati mereka, dan kami juga menganalisis filem-filem mereka, babak demi babak.
"Mereka yang memberikan identiti filem aksi dalam negara kita namun, kami juga mahu memberikan filem aksi sebagai sebuah identiti, kami mahu menjadi sebahagian dalam memberikan identiti itu. Jadi kami membuat perbincangan antara kami, apakah identiti Polis Evo?," tambah Joel.
Jelas Joel lagi, sudah tiba masanya bagi industri filem negara ini terutama filem aksi untuk mencapai standard yang lebih tinggi lagi.
"Polis Evo kami meletakkan standard seperti filem Hollywood pada 90an seperti filem Bad Boys. Rasa-rasanya sudah tiba masanya untuk kita capai standard itu sekurang-kurangnya standard pada tahap minima, yang Hollywood pun sudah capai standard itu pada 20 tahun lepas.
"Jadi semua bahagian produksi termasuk penulisan skrip, cinematografi, penataan cahaya, dan sebagainya perlu mencapai tahap minima itu. Kalau kita, kita perlu membuat penggambaraan semula, tulis semula, dan sunting semula.
"Itu yang berlaku dalam Polis Evo. Semua mahukan yang terbaik dan itu menjadikan Polis Evo sangat unik," kata Joel.
Dalam tempoh empat hari tayangan, kutipan filem aksi Polis Evo telah berjaya mencatat kutipan lebih RM2.5 juta daripada 98 buah pawagam seluruh Malaysia serta Brunei.
Filem ini ternyata memberikan impak besar di laman-laman sosial apabila sekurang-kurangnya 10,000 pengguna memperkatakan mengenainya sebelum filem ini ditayangkan.
Secara keseluruhan, Polis Evo mendapat lebih 34 juta pendedahan di media sosial; malah filem ini telah menjadi trending di laman Twitter.
Filem bergenre aksi ini memaparkan kisah dua anggota polis, Khai (Shaheizy Sam) dan Sani (Zizan Razak) yang mempunyai personaliti yang sangat berbeza namun harus bekerjasama untuk menjatuhkan sebuah operasi pengedaran dadah.
Berjayakah Sani dan Khai menyelesaikan misi mereka bersama?
Saksikan Polis Evo di pawagam berhampiran.