'Biarlah saya jalankan tugas dahulu sebagai seorang anak ...' - Hael Hussaini

Gempak
Jun 5, 2019 14:01 MYT
'Bagi saya biarlah saya jalan tugas dahulu sebagai seorang anak dan saya akan pastikan perbelanjaan, makanan dan penginapan untuk keluarga dahulu untuk menyambut perayaan.' - Foto Astro GEMPAK
PENYANYI dan komposer Hael Husaini mengakui akan memastikan segala kelengkapan perayaan keluarganya terlebih dahulu sebelum memikirkan mengenai dirinya.
Menurut Hael, sebagai seorang anak dia akan berkongsi rezeki yang ada kepada keluarga terlebih dahulu dalam penyediaan kelengkapan perayaan.
"Persiapan raya saya akan lebihkan pada keluarga dahulu. Bila keluarga dah selesai baru saya akan fikir apa yang saya hendak pakai.
"Bagi saya biarlah saya jalan tugas dahulu sebagai seorang anak dan saya akan pastikan perbelanjaan, makanan dan penginapan untuk keluarga dahulu untuk menyambut perayaan.
"Saya mula buat begitu sejak saya mempunyai rezeki yang boleh dikongsikan kepada mereka semua.
"Saya percaya jika lebih banyak kita memberi, kita akan dapat lebih banyak lagi selepas ini," katanya kepada Gempak.
Hael berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran syarikat pengurusan artis, Rocketfuel Entertainment bersama anak-anak yatim di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
#anak #berita hiburan #bersyukur seadanya #ekonomi keluarga #Hael Hussaini #Hari Raya Aidilfitri #keluarga #Ramadan #Rocketfuel Entertainment #selebriti
;