Beyonce sertai TikTok, janjikan lebih banyak karya
Agensi
Julai 15, 2022 13:58 MYT
Julai 15, 2022 13:58 MYT
BINTANG pop terkemuka, Beyoncé secara rasmi menyertai aplikasi video pendek, TikTok, dengan memuat naik kandungan pertama pada Khamis.
Keseluruhan katalog muziknya kini tersedia kepada pengguna TikTok untuk digunakan dalam kandungan mereka. Ini termasuk single terbaharunya, Break My Soul, dan lagu hit seperti Halo dan Single Ladies.
Dalam muat naik pertamanya di aplikasi itu, Beyoncé mengucapkan terima kasih kepada semua peminatnya atas sokongan yang diberikan dan menjanjikan lebih banyak karya pada masa yang akan datang.
"Gembira melihat anda semua 'bergoyang' dengan lagu saya!" kata Beyoncé pada kapsyen.
Setakat ini, 'Queen B' sudah memiliki lebih 3.4 juta pengikut di TikTok.
Break My Soul merupakan single pertama daripada album studio solo ketujuh Beyoncé, "Renaissance", yang akan dilancarkan pada 29 Julai.
Dengan menyertai TikTok, Beyoncé meluaskan pengaruh sebagai antara bintang dengan pengaruh terbesar di media sosial.
Pemenang 28 trofi Grammy itu mempunyai 268 juta pengikut di Instagram, 56 juta di Facebook, hampir 25 juta pengikut di YouTube dan 15.5 juta pengikut di Twitter.