Beto Kusyairy 'buat badan' demi filem Gayong

Bernama
September 18, 2024 01:00 MYT
Beto tidak akan mengambil mudah sesuatu watak biarpun sudah ada pengalaman menjayakannya serta mempunyai ilmu persilatan kerana kali ini dia akan beraksi sebagai mahaguru silat. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kalau diikutkan, lelaki ini tidak mempunyai masalah untuk menjayakan watak yang memerlukannya handal beraksi dalam persilatan serta tangkas bermain senjata kerana sudah mempelajari seni pertahanan diri itu sejak berusia tujuh tahun.
Dalam tempoh itu, pastinya aktor popular Beto Kusyairy sudah mahir menggayakan berbagai rentak seni silat gayung sehingga bakatnya juga disedari pengarah bagi menjayakan filem bergenrekan itu sepertimana wataknya sebagai Wahid dalam filem pecah panggung, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.
Namun, mengenali aktor kaliber ini atau nama sebenarnya, Nurkusyairy Zakuan Osman, 44, sememangnya tidak akan mengambil mudah sesuatu watak biarpun sudah ada pengalaman menjayakannya serta mempunyai ilmu persilatan kerana kali ini dia akan beraksi sebagai mahaguru silat.
Mengakui ia satu tugas besar dan agak berat, lelaki ini yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Festival Filem Malaysia ke-32, kali ini akan tampil dalam filem terbaharu menggalas watak sebagai pengasas Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia.
Semestinya, bukan calang-calang karakter untuk menjayakan watak mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman Daeng Uda Mohd Hashim, pelakon Bisik Pada Langit dan Imaginur ini giat melakukan pelbagai persiapan sebaik diberi kepercayaan menggalas peranan tersebut dalam filem Gayong.
Ini termasuklah inisiatif berjumpa dengan beberapa guru tua yang mengenali Allahyarham lebih 20 tahun seperti Cikgu Awang Daud di Gurun, Kedah untuk mengetahui karakter mahaguru selain memperkemaskan lagi ketangkasan seni silat gayungnya.
"Kita sedia maklum, waris dan rakan Allahyarham masih ada dan kita pula mahu mengangkat namanya... tanggungjawab menggalas watak ini sangat berat apatah lagi persepsi masyarakat sudah tentu tinggi untuk melihat hasilnya. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik hasil sokongan semua.
"Selain itu, hasil kajian saya mendapati Allahyarham adalah seorang berbadan tegap sehingga digelar pendekar sendo (kuat). Untuk itu, saya mengambil inisiatif dengan melantik jurulatih peribadi bagi menjalani latihan kecergasan di gimnasium selain menjaga diet pemakanan ketat," katanya.
Beto yang ditemui pada sidang media dan pelancaran filem tersebut baru-baru ini turut ditanya berkenaan sasaran bina badan dan katanya, dia tidak meletak sebarang aras untuk itu, namun cuba untuk membuatnya sebaik mungkin dalam tempoh kurang sebulan sebelum menjayakan watak berkenaan.
Selain Beto, filem epik arahan Faisal Ishak ini yang turut dibintangi bintang-bintang hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip dan Yayan Ruhian bakal memulakan penggambaran pada 5 Okt ini dan dijangka menemui penonton pada pertengahan tahun depan.
Sememangnya, kehebatan Beto beraksi dalam berbagai genre watak sudah mencapai usia dua dekad, namun lelaki ini mengakui tidak pernah mengimpikan untuk mendapat sebarang anugerah hingga ke peringkat antarabangsa walaupun bakat dan kemunculannya sentiasa dinantikan peminat.
Baginya, bukan anugerah yang dikejarnya sejak awal pembabitannya dalam industri, tetapi impak kepada penonton dalam setiap karya lakonannya yang seterusnya mampu membawa mereka ke arah lebih baik, adalah pengiktirafan sangat dihargai anak kelahiran Kuala Lumpur ini.
"Bagaimanapun, ia (anugerah) adalah bonus dan saya berterima kasih serta bersyukur kalau ada yang memberi. Saya tidak pernah memandang rendah anugerah tempatan kerana ia daripada negara sendiri dan (itu menunjukkan) peminat menonton dan menghargai karya kita.
"Tidaklah terfikir anugerah tempatan tidak setanding bakat saya. Kita kena sedar diri dan sedar ruang di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung," katanya. - BERNAMA
#Beto Kusyairy #filem Gayong #silat gayung #pelakon popular
;